Kiriman pada: Fri, Aug 28th, 2015

PM Minta Pihak Berkepentingan Manfaatkan Asas Kukuh Pelancongan

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKKuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata asas pelancongan Malaysia, sama seperti asas ekonomi, masih kukuh dan perlu dimanfaatkan menerusi pelbagai saluran untuk menarik lebih banyak pelancong ke negara ini.

Beliau menyenaraikan bahawa negara terkenal dengan hospitalilti dan budaya ramah-tamah, khazanah warisan semula jadi, kepelbagaian adat resam dan kini, terutamanya, lebih nilai wang yang membolehkan pelancong merasai pelbagai pengalaman di Malaysia berbanding destinasi lain, dari segi kadar tukaran wang.

“Semua ini masih menjadi tarikan jualan yang perlu dipergiatkan lagi dan disebar luas menerusi semua saluran untuk meningkatkan angka pelancong,” katanya pada acara bertajuk ‘Satu Jam Bersama Perdana Menteri’ anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Datuk Seri Najib berkata kerajaan sedar bahawa persaingan adalah sengit, dengan negara-negara lain turut berusaha keras untuk menarik pelancong ke negara mereka.

Untuk menjadikan sektor pelancongan Malaysia lebih kompetitif, katanya: “Insentif-insentif mungkin perlu disemak semula dan isu imigresen seperti pemberian visa pada waktu ketibaan dan yuran visa serta visa elektronik perlu dikaji semula bagi memudahkan pelancong masuk ke negara ini,”.

Beliau berkata syarikat penerbangan dan pelabuhan juga perlu menambah perkhidmatan penerbangan terus dan jalinan hubungan, kedua-duanya saling berkaitan untuk meningkatkan ketibaan pelancong.

Beliau juga mencadangkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan untuk bermesyuarat dalam waktu terdekat untuk menyelesaikan isu-isu antara kementerian yang masih belum diselesaikan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.