Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

PM minta rakyat bertenang, kebenaran akan terbukti

Kongsi maklumat ini
Tags

NAJIB RAZAK / TERENGGANUJERTIH: Perdana Menteri meminta rakyat bertenang dan jangan bimbang dengan isu yang digembar-gemburkan oleh media asing membabitkan kepemimpinannya. Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kebenaran akan terbukti juga akhirnya. “Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan mengkhianati rakyat dulu dan sekarang. Saya berterima kasih kepada seluruh kepemimpinan UMNO yang berdiri teguh memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya. “Malah, saya berterima kasih kepada seorang pemimpin PAS, yang membuat kenyataan yang cukup baik. Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din berkata tidak masuk akal perdana menteri boleh songlap duit. Tidak masuk akal,” katanya berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan pelancaran Program al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab, di sini, petang tadi.
Beliau menyeru rakyat untuk bertenang serta bersatu dalam menangkis segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka berbeza dari segi fahaman politik. Mengikut Najib, untuk membina sebuah tamadun yang maju, rakyat sesebuah negara itu tidak seharusnya berpecah-belah. Semalam, Najib berkata, beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan kononnya kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata negara maju tidak akan memperlekeh negara ini jika rakyat mempunyai kekuatan iman dan takwa yang menjadi asas untuk membangunkan sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya. Beliau berkata, untuk melahirkan generasi ulul albab, negara bukan sahaja perlukan generasi yang ada kekuatan fizikal malah juga kemampuan minda. “Kita bukan sahaja mesti ada kekuatan secara peribadi, kekuatan yang terbit daripada keimanan dan ketakwaan mesti ada untuk melahir dan membangun sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya, barulah kita boleh setanding dengan negara yang lebih maju daripada kita hari ini,” katanya. Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Barisan Nasional (BN) Terengganu akan bersama-sama Perdana Menteri walau apa juga badai yang melanda dan sanggup menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan cabaran politik negara ketika ini. Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut. Ada tujuh sekolah Imtiaz di Terengganu iaitu masing-masing sebuah di tujuh daerah. Penubuhan sekolah imtiaz adalah hasil idea bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang kini Menteri Pendidikan Kedua pada 31 Mei 1996, kesinambungan daripada program “Pintar Qur’an” yang telah dilaksanakan di Besut.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.