Kiriman pada: Thu, Jul 9th, 2015

PM Saksi Pemeteraian Enam MoU Pelan Pembangunan Komprehensif IRDA

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKPutrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan enam pihak berkepentingan lain di Iskandar Malaysia bagi kerjasama dalam beberapa komponen untuk manfaat penduduk di wilayah itu.

Datuk Seri Najib yang juga Menteri Kewangan, sebelum itu mempengerusikan mesyuarat ke-17 IRDA di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selepas mesyuarat itu, Najib dan Mohamed Khaled menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan yang bertujuan melaksanakan beberapa komponen di bawah Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDP).

Antara yang dimeterai ialah MoU IRDA dan Bank Tokyo-Mitshubishi UFJ (Malaysia) yang bertujuan mempromosi peluang pelaburan di wilayah berkenaan; MoU IRDA dan CMS Consortium Ecotour Sdn Bhd (COMOS) serta Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd yang memfokuskan kepada perkhidmatan perkongsian kereta elektrik serta program EcoRide bagi melaksanakan bandar mobiliti pintar.

MoU lain ialah antara IRDA dan NEC Asia Pasific Pte Ltd serta Applied Business Technologies Sdn Bhd yang antara lain bertujuan meningkatkan keselamatan awam dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup di Iskandar Malaysia.

Selain itu, Country Garden Pacific View Sdn Bhd, Huawei Malaysia Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd turut menandatangani MoU bersama bagi merealisasikan inisiatif bandar bestari di Iskandar Malaysia.

IRDA turut menandatangani dua lagi perjanjian iaitu masing-masing dengan AsureQuality Ltd dan Haltex Pte Ltd, serta Biltmore (M) Sdn Bhd dan Haltex Pte Ltd yang merupakan inisiatif pembangunan ekosistem halal di Iskandar Malaysia.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.