Kiriman pada: Thu, Jul 30th, 2015

PM Terima Kunjungan Hormat Naib PM China

Kongsi maklumat ini
Tags

fhdhdjPutrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis menerima kunjungan hormat Naib Perdana Menteri China Liu Yandong di pejabat beliau di sini ketika Malaysia dan China berusaha untuk mengeratkan hubungan.

Mereka berdua membincangkan pelbagai isu, termasuk perdagangan dua hala dan ekonomi dan kerjasama serantau dalam bidang pertahanan serta pelancongan.

Hadir sama di pertemuan itu, duta khas perdana menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, dan duta besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Liu berada di Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke-128 di Kuala Lumpur ketika Beijing giat membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Ketika ditemui selepas perjumpaan itu, Ong berkata pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Najib menyuarakan harapan agar lebih ramai pelancong China berkunjung ke negara ini sejajar dengan langkah yang diambil kerajaan Malaysia menggalakkan rakyat China melawat Malaysia selepas tragedi Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS).

Menurut Ong, Najib menegaskan tentang kesungguhan kerajaan Malaysia melaksanakan projek taman perindustrian berkembar – Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan di Pahang dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou di Guangxi, selatan China.

Katanya, Najib akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Keqiang semasa pemimpin China itu melakukan lawatan rasmi ke Malaysia November ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN, untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-China.

Ong berkata China menyuarakan minatnya untuk mengambil bahagian dalam projek besar di Malaysia, termasuk projek Rel Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura dan pelaburan dalam bidang lain.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.