Kiriman pada: Tue, Aug 11th, 2015

PM Umum Dana RM20 Juta Untuk NGO Mantapkan Program Pembangunan Bumiputera

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKPutrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai usaha untuk memantapkan lagi program pembangunan bumiputera.

Datuk Seri Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu akan disalurkan oleh Teraju kepada 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara yang terpilih bagi melaksanakan program berkenaan.

Beliau berkata penyediaan dana itu juga adalah pelengkap kepada usaha kerajaan bagi membantu NGO yang mempunyai kekangan kewangan untuk melaksanakan program pembangunan bumiputera.

Menurutnya selama ini pihak Teraju menerima banyak permohonan bantuan kewangan daripada NGO untuk menjalankan aktiviti pemerkasaan ekonomi bumiputera.

“Maka, sudah tiba masanya satu peruntukan disediakan kepada NGO dan dana ini secara tersusun dan telus melalui Teraju, bersesuaian dengan peranannya sebagai badan yang mengelola agenda ekonomi bumiputera,” kata beliau pada majlis penyampaian watikah pelantikan Rakan Kongsi Penyampaian Teraju kepada NGO.

NGO terbabit ialah Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Pusat; DPMM Putrajaya; Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem); Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama); Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati).

NGO lain ialah Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita); Majlis Tindakan Ekonomi Bersatu (MTEN); Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB Malaysia); Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah (DUBNS); Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun Sabah (KCCI) serta Dewan Usahawan Bumiputera (DUBS); dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak Sarawak (DCCI).

Datuk Seri Najib berkata semua NGO terpilih akan diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan akaun masing-masing bagi memudahkan pemantauan keberkesanan program yang dilaksana.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.