Kiriman pada: Wed, Jan 20th, 2016

Polis berkuda ronda di Bandar Baru Bangi

Kongsi maklumat ini
Tags

12571174_10208136601716538_1913027707_n.transformedBANDAR BARU BANGI: Kehadiran anggota polis berkuda meronda di kawasan perumahan sekitar bandar ini sejak minggu lalu, menarik perhatian penduduk tempatan. Kehadiran mereka juga memberi kesan positif kepada polis yang mendapat kerjasama erat dari segi penyaluran maklumat berhubung kejadian jenayah di sini. Ketua Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Putrajaya, Inspektor Zasali Yunus, berkata kehadiran kuda ternyata memberi kesan besar kepada penduduk tempatan apabila mereka sendiri datang menemui anggota polis berkuda untuk berbual dan memegang haiwan itu. Katanya, berikutan permintaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, empat anggota polis berkuda meronda di sini sejak seminggu lalu dan bertugas selama empat jam sehari, sama ada waktu pagi atau petang. “Bagi kawasan perumahan yang mempunyai jalan besar, empat anggota berkenaan meronda serentak. Jika jalan kecil, mereka meronda secara berdua dan turut disertai anggota polis bermotosikal atau kereta,” katanya ketika ditemui, hari ini. Zasali berkata, mereka akan memantau keadaan taman perumahan dan bertemu penduduk tempatan, sekali gus mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Katanya, kuda yang digunakan diimport dari Argentina kerana baka dari negara itu didapati bukan sahaja tahan lasak, malah tidak takut menghadapi ramai orang dan keadaan tidak diduga seperti bunyi hon kenderaan secara mengejut. “Sesetengah kuda akan bertindak agresif, tetapi kuda yang kami gunakan tetap tenang dan mampu menghadapi pelbagai keadaan dengan baik,” katanya. Selain itu, katanya, hanya kuda yang berusia lebih enam tahun dibawa meronda kerana lebih matang dan terlatih. Katanya, dari segi operasi, kenderaan yang membawa kuda akan diletakkan di kawasan lapang serta tidak mengganggu lalu lintas serta berdekatan punca air dan selepas taklimat, anggota polis berkuda akan meronda di kawasan sekitar. Zasali berkata, lokasi rondaan berubah setiap hari yang kebanyakan adalah kawasan perumahan dan setakat ini, penduduk memberi reaksi positif terhadap kehadiran anggota polis berkuda kerana tertarik dengan penggunaan haiwan itu. Malah, katanya, ada guru sekolah berdekatan datang menemuinya meminta anggota polis berkuda datang ke sekolah dan kesempatan itu digunakan untuk menerangkan pelbagai perkara berkaitan pencegahan jenayah.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.