Kiriman pada: Tue, Jan 3rd, 2017

Polis Buka Kertas Siasatan Lelaki Panjat Kren Aksi ‘Selfie’

Kongsi maklumat ini
Tags

Ipoh – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung seorang lelaki yang memanjat kren di atas bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan hingga videonya menjadi viral di laman sosial di sini sejak kelmarin.

Video yang berdurasi satu minit 22 saat itu memaparkan seorang lelaki memanjat kren berkenaan tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan sebelum mengambil gambar secara ‘selfie’.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Sum Chang Keong, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki dipercayai pegawai keselamatan syarikat pembinaan berkenaan berusia 34 tahun semalam.

“Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu membahayakan keselamatan diri dan orang lain serta Seksyen 447 iaitu menceroboh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Tugas Ketua Balai Polis Daerah Ipoh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, pihaknya dalam usaha mengenal pasti individu terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta tampil memberi maklumat.

“Kita juga sedang memanggil wakil syarikat pembinaan berkenaan serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati individu berkenaan tidak terbabit dengan kes lapan individu yang memanjat mercu tanda IPOH beberapa hari lalu, ” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.