Kiriman pada: Fri, Jan 15th, 2016

Polis Marin Malaysia, Thailand Tingkat Kerjasama Kekang Jenayah

Kongsi maklumat ini
Tags

KERJASAMA SEMPADANLangkawi – Polis Marin Malaysia akan terus mempergiatkan kerjasamanya dengan Polis Marin Thailand bagi memastikan kedua-dua belah pihak memperoleh maklumat taktik terbaharu perlakuan jenayah di kawasan perairan jagaan masing-masing.

Timbalan Pengarah Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman DCP Datuk Ab Razak Ab Ghani berkata kerjasama ini dapat dipereratkan lagi melalui pertemuan lebih kerap di antara kedua-dua pihak.

“Kita tahu penjenayah akan cuba menggunakan taktik baharu untuk menyusup masuk ke dalam perairan kita dan kita perlu bertukar-tukar maklumat untuk mengatasi cabaran ini,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Divisyen Polis Marin Satun, Thailand semalam.

Menurutnya, penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia adalah antara aktiviti jenayah di laut yang sentiasa diberi perhatian kedua-dua pihak dan menerusi kerjasama yang dilaksanakan setakat ini, aktiviti berkenaan berjaya dikurangkan.

“Setiap bulan, kita akan mengadakan operasi bersama untuk memastikan masing-masing sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ancaman yang menunggu untuk memasuki (perairan) negara,” katanya.

Semasa lawatan itu, Ab Razak yang diiringi Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman SAC Abdul Rahim Abdullah dan beberapa pegawai kanan polis telah disambut oleh Ketua Inspektor Divisyen Polis Marin Satun, Lt Kol Polis Santipong Pansawat.

Beliau turut mendengar taklimat berhubung pencapaian divisyen polis berkenaan yang telah disampaikan oleh sub-inspektornya, Lt Polis Tatpong Tepchai.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.