Kiriman pada: Wed, Aug 5th, 2015

Polis Sabah Masih Runding Pembebasan Dua Mangsa Culik Di Sandakan

Kongsi maklumat ini
Tags

PERHIMPUNAN BULANAN / KOTA KINABALUKota Kinabalu – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya masih berunding dengan kumpulan penculik bagi pembebasan tanpa bayaran dua rakyat negara ini yang diculik kumpulan itu pada 14 Mei lalu di Restoran Ocean King, Jalan Batu Sapi, Sandakan.

“Kita masih berbincang secara baik dan terperinci. Keluarga mangsa tidak berkemampuan untuk membayar sejumlah wang yang diminta kumpulan penculik ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Jalaluddin berkata, kumpulan penculik itu pada awalnya telah meminta wang tebusan RM60 juta sebagai pertukaran kedua-dua mangsa culik namun selepas beberapa kali rundingan dijalankan jumlah sebenar wang tebusan itu dapat dikurangkan sehingga lebih 50 peratus.

Beliau berkata, kedua-dua tebusan yang diculik kumpulan penceroboh itu berada dalam keadaan selamat dan berdasarkan panggilan telefon kepada keluarga, mangsa dipercayai berada di pedalaman selatan Filipina, bersempadan dengan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Filipina turut bekerjasama membantu Malaysia untuk membantu serta mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap kes penculikan itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.