Kiriman pada: Wed, Jul 8th, 2015

Polis Siasat Bagaimana WSJ Dapat Maklumat Perbankan Tanpa Kebenaran

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI KHALID ABU BAKARKuala Lumpur – Polis akan menyiasat bagaimana The Wall Street Journal (WSJ) mendapat maklumat perbankan yang didakwa ada kaitan dengan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), secara tidak sah dan tanpa kebenaran Bank Negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 susulan tindakan media berkenaan mendedahkan beberapa maklumat perbankan yang mendakwa dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

“Siasatan terhadap 1MDB itu dijalankan oleh pasukan petugas khas, namun kita juga akan jalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat perbankan yang membabitkan isu itu.

“Ini kerana kita menerima banyak laporan polis berhubung kebocoran maklumat perbankan dan sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh mengancam ekonomi negara,” katanya pada pemberita selepas melancarkan kempen Op Selamat 7/2015 bersempena Aidilfitri di KL Sentral.

Khalid berkata polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan sama ada terdapat sindiket menjual maklumat perbankan kepada pihak tertentu oleh mereka yang mempunyai akses kepada maklumat perbankan.

Katanya siasatan di bawah akta sama turut dijalankan terhadap mana-mana pihak yang dikesan terbabit dalam membocorkan maklumat perbankan termasuk pihak bank, pegawainya atau sesiapa sahaja yang tidak mendapat kebenaran daripada Bank Negara.

Sementara itu, Khalid mengesahkan bahawa kes pembunuhan pengasas AmBank Hussain Ahmad Najadi yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013 tidak mempunyai kaitan dengan penyiasatan 1MDB.

Beliau berkata laporan sebuah blog yang mendakwa bahawa kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi dengan penyiasatan 1MDB adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, dan ia hanya merupakan satu fitnah.

“Saya ingin membuat pengesahan bahawa Hussain Ahmad Najadi tidak pernah membuat sebarang laporan polis pada 26 Okt mengenai kemasukan sejumlah wang dalam Bank Negara seperti yang dilaporkan dalam blog tersebut,” katanya.

Katanya kes pembunuhan pengasas Ambank itu telah selesai apabila pembunuh telahpun dihukum dan pihak polis mengetahui motif sebenar pembunuhan tersebut.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap punca berita tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.