Kiriman pada: Wed, Apr 8th, 2015

POTA Bukan Seperti ISA

Kongsi maklumat ini
Tags

IDN04_070415_TPMJAKARTA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mencadangkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana mendapati keperluan satu undang-undang khas bagi membanteras kegiatan keganasan di negara ini malah sejak kebelakangan ini terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dengan kegiatan itu di luar negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, akta baharu itu memberi kuasa eksekutif kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik Yang di-Pertuan Agong.

POTA tidak memberi kuasa kepada menteri untuk melaksanakannya dan kerajaan memberi jaminan tidak ada campur tangan dengan kuasa politik, katanya mengenai rang undang-undang itu yang baru diluluskan Dewan Rakyat, dalam sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Beliau menegaskan POTA tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan.
“Ada orang membuat dakwaan kononnya POTA adalah ‘ISA 2’ dan dakwaan ini tidak benar kerana ia khusus untuk menangani masalah berkaitan keganasan,” katanya sambil menjelaskan bahawa orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing.

Rang Undang-undang POTA diluluskan di Dewan Rakyat awal pagi semalam setelah perbahasan mengenainya mengambil masa sehingga 12 jam apabila pihak pembangkang terus menekankan tanggapan ia sama seperti ISA.

Muhyiddin turut kesal dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan mengenai usaha melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk kononnya ia bertujuan untuk membayar hutang kerajaan.

GST bukanlah untuk membayar hutang sebaliknya bertujuan untuk menambah baik sistem pencukaian negara malah Malaysia adalah negara ke-161 di dunia yang melaksanakan cukai itu.

Beliau berkata GST bertujuan memperbaiki kelemahan sistem percukaian sebelum ini dan mengatasi ketirisan kerana terdapat pihak yang mengenakan cukai terhadap pengguna tetapi tidak membayarnya kepada kerajaan.

“Kita berilah sedikit masa untuk stabilkan harga selepas GST ini dilaksanakan dan kerajaan bersedia menerima sebarang aduan daripada rakyat menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan serta Jabatan Kastam,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.