Kiriman pada: Wed, Mar 18th, 2015

PR lemah kerana tiada sikap hormat

Kongsi maklumat ini
Tags

NSTPKUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Dewan Ulamak PAS meminta sekutunya, DAP menghentikan segera ugutan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan berpecah jika parti itu meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin At-Takiri, berkata perpecahan itu akan berlaku disebabkan tidak ada rasa hormat-menghormati antara rakan sekutu.

“Apabila PAS mahu dan bekerja untuk ia dilaksanakan, tidak perlulah DAP mengugut PAS dengan ancaman PR akan berpecah jika PAS teruskan usaha itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, DAP nyata tidak menunjukkan sikap hormat kepada PAS apabila secara terusan mengkritik parti itu berhubung pelaksanaan enakmen hudud yang hari ini sedang dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan PR itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita. Malangnya, DAP tidak bersikap demikian.

“Pecah atau kukuh PR adalah di tangan kita (PKR-DAP-PAS) yang menentukan bukan di tangan UMNO.

“Maka, jika lemahlah PR, ia adalah berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap PAS sendiri. Bukan kerana PAS bertegas mahu laksanakan undang-undang jenayah Islam (hudud),” katanya.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menyatakan selama ini PAS sudah pun berhabis lembut dan lunak menjelaskan semuanya kepada DAP tentang penggubalan dan pelaksanaan undang-undang berkenaan.

“Nasihat tulus ikhlas saya pula buat Lim Kit Siang, Anthony Loke dan seluruh pimpinan DAP.. hormatilah PAS!,” katanya.

PAS juga katanya, berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keseluruhan undang-undang jenayah syariah merangkumi Hudud, Takzir dan Qisas dilaksanakan tidak sedikit pun kerana kepentingan politik.

“Ia adalah kerana tuntutan agama Islam itu sendiri,” katanya memaklumkan gerak kerja untuk memastikan undang-undang jenayah Islam ini dilaksana adalah lebih awal dibuat berbanding penubuhan PR itu sendiri.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.