Kiriman pada: Sat, Feb 4th, 2017

PRK : Ahli Keluarga Bantu Kempen Jamilah

Kongsi maklumat ini
Tags

Lundu – Ahli keluarga Datuk Amar Jamilah Anu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu akan berkampung di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen hingga hari pengundian.

Anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan berkata beliau bersama ahli keluarga termasuk adik-beradiknya akan membantu kempen itu memandangkan ibunya masih dalam tempoh edah kematian suami.

Katanya mereka akan berkempen mengikut perancangan yang dibuat oleh jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN Sarawak.

Azizul yang merupakan anak bongsu Jamilah dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, berkata strategi kempen yang dirancang termasuk penggunaan media sosial.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan kelancaran proses penamaan calon hari ini serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan PBB, BN serta anggota parti yang hadir memberikan sokongan kepada ibunya.

Ditanya mengenai PRK Tanjong Datu melibatkan pertandingan tiga penjuru, Azizul berkata sistem demokrasi yang diamalkan perlu dihormati.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandang Allahyarham Adenan yang juga Ketua Menteri kelima Sarawak pada 11 Jan lalu akibat komplikasi jantung.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.