Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

PRK Tanjong Datu: Calon BN Dijangka Diumum Rabu Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuching – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dijangka mengumumkan calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Rabu ini.

Sumber berkata, Abang Johari, yang juga Presiden PBB dijangka membuat pengumuman itu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat parti di Jalan Bako di sini, yang dijadual diadakan pada jam 3 petang.

“Keputusan akhir akan dibuat pada mesyuarat itu nanti yang dipengerusikan oleh Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak dan kita tunggu sahajalah sehingga hari berkenaan untuk mengetahui siapa yang akan bertanding bagi mengisi kekosongan berikutan kematian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem,” katanya.

Bagaimanapun, sumber dalaman PBB itu mengesahkan isteri Allahyarham Tan Sri Adenan, iaitu Puan Sri Jamilah Anu dan dua anak lelakinya, Abdul Aziz dan Azizul Anuar antara beberapa calon berpotensi yang disebut-sebut.

PRK Tanjong Datu diadakan berikutan kematian Allahyarham Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Februari ini sebagai hari penamaan calon manakala 18 Februari pula hari pengundian.

Kawasan Tanjong Datu mempunyai seramai 9,899 pengundi berdaftar dan pada Pilihan raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Adenan mendapat 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang hanya mendapat 468 undi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.