Kiriman pada: Tue, Dec 6th, 2016

Profesional Tangani Kebencian Dilemparkan Menerusi Media Sosial

Kongsi maklumat ini
Tags

tanganiKangar – Anggota parti di semua peringkat diingatkan agar bijak menguasai media sosial serta menangani sebarang fitnah dan kenyataan berbaur kebencian yang dilemparkan terhadap para pemimpin UMNO, secara profesional.

Anggota Majlis Tertinggi parti, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sesebuah kerajaan di era masa kini perlu mengikuti dengan jelas serta mampu menguasai teknologi berkaitan jika ingin terus kekal memerintah.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi contoh kemenangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang disifatkan hasil penguasaan media sosial walaupun tiada latar belakang sebagai ahli politik.

“Jika kita (UMNO) terus dengan media (konvensional), parti memang boleh dilihat hebat namun hakikatnya gagal mendapat sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini hari ini.

Shahidan berkata kerajaan mampu berdepan dan mengatasi sebarang isu berkaitan rakyat namun perlu bijak membaca dan mengkaji medium sosial yang pantas menyebarkan maklumat berkaitan kerajaan dalam pelbagai versi.

“Ambillah iktibar tentang setiap yang berlaku di peringkat global sekarang ini. Semua orang pun boleh menjadi wartawan tidak rasmi yang menimbulkan pelbagai persepsi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan selaku Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia itu berharap agar aktiviti berkaitan sukan renang di negeri ini dapat dihidupkan kembali dengan cara menyempurnakan fasiliti sedia ada.

“Saya bersedia membantu dan boleh menyampaikan kekangan yang wujud misalnya berkaitan status Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Selain itu, masalah lampu limpah yang dihadapi STSP juga boleh saya panjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut beliau jika perkara berkenaan tidak diselesaikan, dibimbangi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) akan berhadapan masalah untuk mengadakan perlawanan pada sebelah malam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.