Kiriman pada: Wed, Dec 7th, 2016

Projek Berpemangkin Boleh Merangsang Lebih Banyak Perkongsian Dan Tingkat Daya Saing Negara,

Kongsi maklumat ini
Tags

tingkatIskandar Puteri – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya projek berpemangkin seperti Fastrackcity di sini dan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura bukan sahaja menarik lebih banyak perkongsian pada masa depan, tetapi juga merangsang daya tarikan negara di rantau ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Fastrackcity yang dianggap kejayaan besar dalam pembangunan industri sukan bermotor Malaysia, akan turut mewujudkan lebih banyak peluang kepada penduduk.

Menurut beliau, Fastrackcity adalah satu contoh pembangunan inovatif yang diperlukan negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Ia akan membantu memacu pembangunan teknologi dan mewujudkan platform kukuh untuk kita melatih kakitangan kejuruteraan tempatan, juruteknik dan pereka bentuk bagi meningkatkan daya saing kita di rantau ini,” katanya dalam ucapan pada pelancaran reka bentuk Fastrackcity di Pinewood Studios di sini, hari ini.

Selain itu, Fastrackcity akan mewujudkan perniagaan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam pelancongan dan industri berkaitan seperti penyelenggaraan dan bengkel penalaan prestasi, hospitaliti dan runcit.

“Dijangkakan 1,200 pekerjaan akan diwujudkan daripada pembangunan Fastrackcity dan ia akan membawa kepada 350,000 lagi pelancong datang ke negara kita setiap tahun,” tambahnya.

Ia juga akan melengkapkan trek Malaysia yang terkenal di dunia seperti Litar Antarabangsa Sepang, katanya dengan menambah, yang lebih banyak peluang baharu untuk bakal pelumba akan muncul dan akhirnya mewujudkan kumpulan bakat perlumbaan lebih besar untuk Asia dan ASEAN khususnya.

Najib juga memuji projek tersebut sebagai contoh kerjasama Malaysia-Singapura yang baik.

“Ini adalah contoh kerjasama Malaysia dan Singapura yang baik dan sesuatu yang kepemimpinan sebelum ini agak keberatan memulakannya. Tetapi di bawah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan diri saya, kami telah mengetepikan pergaduhan kecil dekad lalu,” katanya.

Tambahan pula, kata Najib, kedua-dua pihak bertekad untuk memupuk dan meraikan semangat kerjasama baharu ini, terutama yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

Fastrackcity yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 120 hektar dijangka siap pada 2019.

Bandar raya sukan bermotor itu juga akan mempunyai trek perlumbaan 4.45 kilometer yang menerima penarafan Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa, yang membolehkan perlumbaan F1 diadakan.

Projek usaha sama antara FASTrack Autosports (Iskandar) Pte Ltd dan UEM Land Bhd, pada mulanya diumumkan pada 2012.

Berangkat hadir pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Pengerusi Fastrackcity dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.