Kiriman pada: Thu, Jan 26th, 2017

Projek Mega Untuk Rangsang Ekonomi, Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Datuk Seri Najib Razak berkata, projek infrastruktur berimpak tinggi yang dilaksanakan kerajaan bukan bersifat untuk kemegahan atau projek mewah, sebaliknya bagi merangsang ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, projek seperti Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang di Johor, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan dan peningkatan hidup rakyat.

“Ia juga membantu mewujudkan peluang kontrak peringkat tahap kedua untuk syarikat kontraktor tempatan khususnya kontraktor kelas F.

“Saya hendak tekankan bahawa prinsip projek berimpak tinggi ialah projek besar yang dilaksanakan dengan pantas dan kos pada tahap minimum dan juga mampan, ini prinsip yang perlu dijadikan asas untuk tentukan projek itu dilaksana atau sebaliknya.

“Oleh itu, setiap pertimbangan kita perlu meletakkan rakyat yang menerima perkhidmatan kita sebagai yang utama. Kita perlu pastikan tiada ketirisan dan melaksanakannya dengan penuh berintegriti serta bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Khas Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri mahu Kementerian Kewangan membantu dan memastikan semua kementerian dan agensi pelaksana tidak menghadapi kekangan kewangan dalam melaksanakan projek dan program untuk rakyat.

“Alasan duit tidak sampai dan bajet tidak cukup sering dijadikan alasan, tidak tahu tepat atau tidak.

Saya harap ia perlu diberi perhatian serius supaya semua kementerian pelaksana tidak lagi menjadikan itu sebagai alasan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.