Kiriman pada: Mon, Aug 3rd, 2015

Proses Penentuan Sama Ada Flaperon Daripada MH370 Bermula Rabu Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

Debris MH370Kuala Lumpur – Proses menentukan sama ada flaperon yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah daripada pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan dilakukan di Toulouse, Perancis, Rabu ini.

Ia akan dijalankan oleh wakil pakar dari Malaysia, China, Amerika Syarikat, Perancis dan Boeing, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja proses pengesahan itu selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bukit Serdang.

Sementara itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai serpihan itu.

Sebarang spekulasi mengenainya akan memberi tekanan kepada waris penumpang dan masyarakat yang ingin tahu mengenai penemuan tersebut, kata Liow.

“Sejauh yang kita tahu, serpihan, iaitu flaperon yang ditemui pada Rabu lalu, disahkan adalah bahagian daripada Boeing 777, tetapi terlalu awal untuk mengaitkannya dengan MH370. Begitu juga dengan objek-objek lain yang ditemui selepas itu,” katanya.

Liow juga berkata usaha telah dibuat bagi menyedarkan masyarakat di kawasan terbabit supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang objek yang mungkin berkait dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.

Ia berikutan laporan bahawa sebelum ini pada Mei lalu seorang penduduk Reunion Island telah menemui objek yang didakwa kerusi pesawat tetapi telah melupuskannya kerana tidak tahu mengenai MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.

“Ia merupakan usaha global…kita telah pun memberitahu mengenai maklumat ini kepada pihak berkuasa kawasan kemungkinan termasuk Pulau Sumatera agar penduduk setempat memberi kerjasama jika terjumpa dengan sebarang bukti mengaitkan pesawat MH370,” katanya.

Liow juga berkata Malaysia akan berbincang dengan China dan Australia bagi memutuskan langkah selanjutnya dalam usaha mencari pesawat itu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.