Kiriman pada: Thu, Jul 31st, 2014

Proses Pengendalian Jenazah Mangsa MH17 Akan Diumum Kelak

Kongsi maklumat ini
Tags

WeeKaSiongPutrajaya – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mengumumkan maklumat terperinci mengenai pengendalian proses pengurusan jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine pada 17 Julai lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Liow akan mengumumkan maklumat itu pada masa yang sesuai kelak kerana buat masa ini proses pengecaman mangsa bencana (DVI) masih berjalan dan mungkin mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Sehubungan itu kerajaan menerusi pelbagai kementerian, agensi dan pihak yang berkaitan kini sedang mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa dalam membincangkan persediaan pengurusan jenazah, katanya.

Beliau berkata beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup kini masih dalam proses perbincangan dengan keluarga mangsa.

“Kami berusaha mencari kaedah terbaik dalam pengurusan jenazah bukan Islam mengikut agama masing-masing kerana dalam masyarakat Cina tidak semuanya beragama Buddha maka memerlukan persetujuan keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media.

Pada 24 Julai lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan telah bersetuju melantik dua menteri bagi mengendalikan proses pengurusan jenazah rakyat Malaysia.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi jenazah mangsa beragama Islam manakala Kurup bagi jenazah bukan Islam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.