Kiriman pada: Sat, Dec 31st, 2016

Proton Iriz Raih Anugerah ASEAN Car Of The Year

Kongsi maklumat ini
Tags

Subang Jaya – Proton Holdings Bhd menerima satu lagi anugerah sebelum menutup tahun ini, apabila Proton Iriz dinobatkan sebagai ‘Budget Car of The Year 2016’ pada anugerah ASEAN Car of the Year 2016 (ACOTY).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata anugerah yang diterima pada ACOTY adalah pengiktirafan kepada usaha syarikat selama ini.

“Kami sekali lagi berasa amat terharu dan gembira dengan pengiktirafan ini, terutama kerana Iriz dilancarkan dua tahun lalu.

“Kami memuatkan pelbagai ciri dalam Iriz untuk memberikan pelanggan kami nilai yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Iriz diperkenalkan pada September 2014 dan menandakan kehadiran Proton dalam segmen kereta kompak.

Model itu mendapat penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP dari segi keselamatan dan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif yang ada dalam semua varian termasuk kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan kuasa-brek Elektronik (EBD), bantuan brek, bantuan kawalan cerun (HHA) dan sistem peringatan pemakaian tali pinggang (SBR).

Proton juga adalah satu-satunya syarikat permotoran di ASEAN yang menggunapakai teknologi Jerman, dipanggil “Hot Press Forming” (HPF) untuk melengkapkan ciri-ciri keselamatan yang ada padanya.

“Struktur HPF boleh mencapai hingga lima kali ganda kekuatan logam biasa. Ini seterusnya menyediakan struktur badan yang lebih kukuh dan yang lebih penting, menguatkan kabin penumpang untuk perlindungan yang lebih baik.

“Secara keseluruhannya, Iriz direka dan dihasilkan bukan saja untuk menyediakan perlindungan optimum kepada penumpang tetapi ia juga sebuah kereta yang seronok dipandu dengan ciri-ciri keselesaan yang moden, penggunaan minyak yang ekonomi dan pelbagai ciri-ciri kemudahan lain,” tambah Ahmad Fuaad.

Proton Iriz dijana enjin VVT empat silinder dengan lima pilihan kelajuan, sama ada kotak gear manual atau transmisi CVT. Varian 1.3 liter didatangkan dalam pilihan Standard dan Executive, manakala 1.6 liter mempunyai pilihan Executive dan Premium, berharga dari RM41,520 hingga RM62,030.

Bagi bulan Disember ini, Proton menawarkan rebat antara RM2,200 hingga RM4,000 dan juga servis percuma dua tahun atau 40,000km, yang mana yang terdahulu untuk semua varian.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.