Kiriman pada: Wed, Nov 9th, 2016

Pusat Memerangi Mesej Malaysia Bertindak Balas Ke Atas Kegiatan Ekstremisme Dan Radikal

Kongsi maklumat ini
Tags

mesejLondon – Malaysia bergerak ke hadapan bagi bertindak balas berhubung kisah pengganas dan ekstremisme terutama di alam siber melalui penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik bagi bertindak balas ke atas golongan pelampau kerana menyedari pengganas memang cekap mereka cerita dan retorik untuk mempengaruhi pengguna media sosial.

“Cerita-cerita ini telah membanjiri alam siber dan mempengaruhi pengguna media sosial untuk percaya bahawa cerita-cerita itu adalah benar, dan pengganas itu berjuang atas nama agama,” katanya dalam ucapan alu-aluan dalam Perbincangan Meja Bulat di Chatham House di sini.

Ucapannya yang bertajuk “Faham Ketenteraan dan Antikeganasan: Satu Perspektif Malaysia”, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kisah mengenai Islam perlu diceritakan semula bagi menyampaikan mesej jelas bahawa pengganas adalah golongan kufur kerana ideologi agama mereka yang diputar belit dan tindakan-tindakan itu membawa kepada kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.

Timbalan Perdana Menteri berkata Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej itu adalah bagi menyelaras usaha untuk bertindak balas terhadap mesej media sosial yang radikal dan mengemukakan imej Islam sebenar di dalam dan di luar ASEAN.

Ahmad Zahid berkata pusat yang dikendalikan Polis Malaysia sejak September 2016 itu menggunakan kajian yang menggambarkan bahawa perjuangan kumpulan militan Daesh itu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Katanya radikalisme akan terus menjadi kebimbangan utama kepada agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia dan ia akan kekal sebagai satu daripada ancaman yang kuat terutama melalui penggunaan meluas internet sebagai alat bagi penyebaran ekstremisme yang ganas dan propaganda radikal.

Para penjenayah dan pengganas kini menggunakan platform komunikasi baharu melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube, e-mel dan malah melalui telefon pintar dalam WhatsApp dan Telegram sebagai satu jalan untuk mengindoktrinasi dan menyebarkan mesej kebencian yang diputar belit, katanya.

Malaysia percaya strategi penting untuk menangani golongan pelampau Islam yang ganas adalah dengan menyingkirkan usaha memutar belit dan penipuan tentang agama,” katanya sambil menambah Malaysia mempunyai sejarah panjang yang menekankan mengenai kesederhanaan melalui amalan wassatiyah, satu perintah dalam al-Quran.

Timbalan Perdana Menteri berkata strategi deradikalisasi Malaysia memerlukan kerjasama strategik di antara kerajaan, pertubuhan awam, sektor swasta, masyarakat tempatan dan masyarakat keseluruhan bagi menghalang individu atau kumpulan daripada terbabit dalam kegiatan pelampau dan radikal di tanah air atau di seberang laut.

Katanya Malaysia juga bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa yang lain dalam usaha dan pelaksanaan strategi deradikalisasinya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.