Kiriman pada: Tue, Feb 16th, 2016

Pusat Transit Beri Harapan Baharu Buat Gelandangan

Kongsi maklumat ini
Tags

hfsdjKuala Lumpur – Bagi gelandangan yang mahu dikenali sebagai Zali, 38, yang tidur berlantaikan simen dan beratapkan langit di tengah-tengah kota raya sejak empat tahun lepas, kini menghela nafas lega kerana mampu bermalam dengan tilam empuk di ‘syurga baharunya’.

Zali, yang mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang untuk dijual ke pusat kitar semula, adalah antara lebih 90 orang yang menghuni di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang baharu dibuka sejak Rabu lepas.

Pusat itu bertempat di bangunan tiga tingkat berhampiran bulatan Jalan Pahang, mempunyai 200 katil serta mempunyai kemudahan bilik air, bilik solat dan pusat kesihatan yang dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah.

Pusat itu turut menempatkan pakaian-pakaian percuma yang disumbangkan oleh orang awam, dan badan-badan bukan kerajaan juga turut menyediakan makanan setiap hari untuk penghuni pusat itu.

Pembinaan pusat itu adalah hasil daripada lawatan mengejut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau keadaan gelandangan di ibu kota pada Julai, 2014.

Sebelum pusat ini siap, kerajaan telah mewujudkan Pusat Khidmat Sementara Gelendangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail, yang hanya menyediakan kemudahan tandas dan bilik air, bilik solat serta tempat untuk pengedaran makanan percuma kepada golongan itu.

Menurut jurucakap pusat itu, memadangkan pusat itu baharu dibuka dan belum dirasmikan lagi, golongan gelandangan hanya perlu mendaftar di kaunter pusat berkenaan untuk tinggal di situ.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata pusat ini yang dibina dengan kos RM3 juta merupakan menjadi tempat sementara untuk gelandangan tidur, rehat, makan dan sembahyang.

Sementara itu, Pengarah Projek Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam menjayakan usaha dan objektif penubuhan pusat yang bertujuan membantu golongan itu membina kehidupan yang lebih baik.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.