Kiriman pada: Wed, Nov 30th, 2016

Puteri Matang, Makin Berani Luah Pendirian

Kongsi maklumat ini
Tags

puterimatangKuala Lumpur – Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat semakin matang dan berani menyatakan idea ke arah pembangunan parti.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh berkata anggota Puteri juga jelas menunjukkan kesetiaan kepada parti melebihi pemimpin seperti yang ditunjukkan Ketua Puteri Semporna, Zakiah Kalipunya dan Ketua Puteri Pagoh, Rohaizah Ahmad.

“Semangat Puteri sangat bagus dan ke arah menghadapi pilihan raya, Puteri juga dilihat sangat matang, ada yang tidak memilih pemimpin tetapi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengikuti Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Rabu.

Anggota MT lain turut mengikuti persidangan tersebut ialah Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Menjelas lanjut, Idris berkata bagi menunaikan hasrat peringkat tertinggi parti mendengar suara peringkat bawahan, perwakilan tidak dihalang daripada menyampaikan usul masing-masing.

Mengenai cadangan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman, supaya pemimpin bersikap terus terang dan mempunyai corak pemikiran di luar kotak, Idris berkata: “Kita dengar suara mereka. Ia cadangan yang baik dan laporan akan dibuat untuk diketengahkan.”

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata antara usul yang turut diambil perhatian ialah mengenai had umur keanggotaan Puteri yang dicadang dinaikkan daripada 35 kepada 40.

Sementara itu, Mustapa berkata Puteri memainkan peranan penting menarik minat golongan muda menyertai UMNO dan beliau bangga dengan solidariti yang ditunjukkan sayap parti tersebut.

“Puteri kini hampir sebaris dengan kewibaan yang ditunjukkan oleh Wanita dan Pemuda. Semasa mereka membentangkan usul, mereka ada meminta agar pimpinan Puteri dan pemimpin atasan turun padang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Fokus terhadap usul ekonomi bagi permasalahan miskin bandar juga adalah usul yang baik. Banyak cadangan yang baik,” katanya.

Seramai 13 perwakilan dari seluruh negara membahaskan usul menyentuh konteks politik, ekonomi, pendidikan serta sosial dan agama.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.