Kiriman pada: Mon, Jul 27th, 2015

Rakyat kita kurang peka risiko pemanduan

Kongsi maklumat ini
Tags

195719-sydney-trafficSETIAP kali musim perayaan, jalan raya kita sesak dengan kenderaan. Kesesakan trafik di lebuh raya dan jalan utama menjadi antara topik sembang.

Tetapi yang menyedihkan, ketika kita bergembira menyambut perayaan itu, jumlah kemalangan juga meningkat. Begitu juga dengan perayaan Aidilfitri kali ini. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, dalam tempoh sembilan hari sehingga hari kedua Aidilfitri pada Sabtu lalu, 12,383 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara yang menyebabkan 203 kematian.

Malah, dilaporkan purata bilangan kematian kali ini lebih tinggi iaitu 22 orang sehari berbanding 13 dalam tempoh sama tahun lalu. Statistik itu amat membimbangkan dan dilaporkan Kementerian Pengangkutan sudah pun meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) membuat analisis serta kajian terperinci mengenai punca peningkatan itu.
Pelbagai cara pemanduan tidak berhemah Sememangnya jika ditanya, tiada siapa pun yang mahu terbabit dengan kemalangan, tetapi jika diperhatikan di jalan raya, ramai yang memandu seolah-olah mahu mengundang ia berlaku. Memandu dengan kelajuan melampau, memotong tanpa mengira tempat dan pelbagai lagi cara pemanduan tidak berhemah menggambarkan ramai pemandu kita kurang peka dengan risiko yang akan berlaku daripada perbuatan mereka. Kurangnya kepekaan terhadap risiko ini mungkin menjadi antara punca peningkatan statistik kemalangan jalan raya. Menyentuh mengenai tahap kepekaan terhadap risiko ini, sekitar akhir tahun 1990-an saya menerima jemputan daripada sebuah syarikat kereta terkemuka untuk mengikuti program Latihan Memandu Lanjutan anjurannya. Agak teruja juga ketika itu. Apa yang saya fikirkan ketika menerima jemputan itu ialah “lepas ni bolehlah aku memandu ala pemandu kereta lumba F1.” Namun, apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Selepas mengikuti program sehari itu, saya menjadi pemandu yang lebih berhati-hati. Apa yang diajar dalam program itu menyedarkan saya mengenai risiko daripada setiap cara dan corak pemanduan kita. Sebagai contoh, sesi pertama program itu menekankan kepada posisi duduk yang betul, seperti jarak badan dengan stereng, jarak kaki dengan brek serta kedudukan tangan dan teknik mengendalikan stereng. Dalam sesi itu peserta program ditekankan mengenai risikonya jika semua itu tidak diikuti. Pada sesi petang pula antara yang diajar ialah cara membrek dengan betul. Dalam modul ini peserta turut didedahkan secara amali jarak kereta dapat diberhentikan ketika membrek pada kelajuan berbeza. Nampak remeh, tetapi sesi itu benar-benar menyedarkan mengapa kita perlu menjarakkan kereta dan mengapa kita perlu mengikuti had laju ditetapkan, terutama di kawasan tertentu seperti sekolah dan jalan kampung. Kaji semula modul kursus memandu Semua itu seingat saya tidak ditekankan ketika saya mengikuti kursus memandu ketika mahu mendapatkan lesen dahulu. Apa yang ditekankan oleh pengajar kelas memandu lebih kepada cara asas memandu serta pematuhan undang-undang. Jika ia masih sama sekarang, mungkin ada baiknya jika ia dikaji semula dengan memasukkan modul seperti program yang saya ikuti itu bagi menjadikan bakal pemandu kita lebih peka dengan risiko, sekali gus dapat membantu mengurangkan kes kemalangan di jalan raya kita.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.