Kiriman pada: Sun, Jan 17th, 2016

Rakyat Malaysia Perlu Bergerak Kearah Untuk Saling Menghormati

Kongsi maklumat ini
Tags

12112225_696264517141692_364718309958334709_nKuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia komited untuk memerangi habis-habisan terhadap sebarang bentuk keganasan dan juga sikap perkauman dan keagamaan melampau.

Beliau berkata, pendirian itu adalah bagi mengekalkan keamanan, keharmonian dan keselamatan di negara ini.

Berita mengenai siri serangan ganas di tempat-tempat seperti Paris, Istanbul dan yang terbaru di Jakarta telah mengejutkan rakyat Malaysia dan masyarakat lain di seluruh dunia, katanya.

“Ini menunjukkan bahawa keamanan dan keharmonian merupakan komoditi yang begitu berharga yang mana kita tidak boleh mengambil sikap tidak menghargainya,” katanya ketika merasmikan Wisma Huazong di Seri Kembangan.

Beliau menegaskan satu-satunya cara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian adalah supaya semua anggota masyarakat di negara ini bekerjasama bagi mencapai matlamat itu.

Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum perlu bergerak ke peringkat seterusnya untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain termasuk apabila menggunakan platform media sosial.

“Kita tidak boleh gunakan media sosial untuk mentertawakan orang lain, untuk mempersenda satu sama lain,” kata Najib sambil meminta rakyat Malaysia supaya berusaha bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu, adil dan progresif.

Menurut Datuk Seri Najib usaha menghormati dan saling percaya di antara satu sama lain adalah penting untuk memastikan apa yang telah diusahakan pemimpin terdahulu diteruskan untuk generasi akan datang.

“Adalah penting bagi kita untuk yakin kepada Malaysia kerana kita telah banyak mencapai kejayaan berbanding di peringkat awal kita bermula, namun perjalanannya masih jauh,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menggalakkan lebih ramai ahli perniagaan Cina untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat Bumiputera bagi menubuhkan perusahaan perniagaan.

“Jika kita dapat menyemai semangat bekerjasama dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, kita akan dapat memecahkan benteng antara pelbagai entiti kaum,” katanya.

Beliau mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM3 juta kepada Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) bagi menjalankan kegaiatan mereka.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.