Kiriman pada: Fri, Jan 15th, 2016

Ramai Ayahanda Guna Gelaran Datuk Tak Sah

Kongsi maklumat ini
Tags

gjlgKUALA LUMPUR – Kira-kira 100 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang bertaraf ayahanda didakwa menggunakan gelaran Datuk dan Datuk Seri yang tidak diiktiraf.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (Yas), Syed Hussain Al-Shahab yang mendedahkan perkara itu berkata, tindakan itu disifatkan mencemar atau menghina institusi raja-raja di Malaysia.

Menurutnya, secara tidak langsung menjejaskan nama NGO bertaraf ayahanda.

“Ayahanda pemimpin NGO, AJK, ahli-ahli ini tidak seharusnya membeli, menerima atau mengguna pakai gelaran-gelaran tersebut.

“Jadi kita minta mana-mana pemimpin mahupun ahli NGO bertaraf ayahanda ini hendaklah dengan serta-merta berhenti mengguna pakai serta membuat pengakuan secara umum untuk tidak lagi gunakan gelaran berkenaan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Syed Hussain berkata, sejak dari awal lagi kerajaan mengisytiharkan bahawa semua gelaran Datuk atau Datuk Seri dari luar negara adalah tidak diiktiraf di Malaysia dan tidak boleh diguna pakai dalam sebarang majlis rasmi.

“Sebagai ayahanda pemimpin, AJK NGO bertaraf ayahanda semestinya selari dengan laungan perjuangan atau menjadi contoh masyarakat.

“Bukan dengan cara mengejar segala pangkat dan darjat yang merugikan, akhirnya masyarakat memandang serong dengan gelaran, pangkat, darjat yang tidak diiktiraf,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiada undang-undang khusus bagi mengawal perbuatan individu tertentu menganugerahkan darjah dan pingat sesuka hati dengan menggunakan pelbagai gelaran.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, undang-undang pemakaian darjah kebesaran persekutuan dan kerajaan negeri-negeri perlu disegerakan dan Yas bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian terbaik isu itu.

Ujarnya, penganugerahan dan pengiktirafan dari luar terhadap pemimpin NGO bukan perkara baharu sebaliknya berlaku sejak 20 tahun lalu.

“Jadi mereka ini juga perlu diberi ruang dan perhatian kerana mereka juga mempunyai jasa tersendiri. Maka Yas juga mencadangkan diwujudkan sebuah pusat penyelarasan darjah kebesaran Datuk.

“Adat budaya yang bertujuan antaranya mengenal pasti serta mengumpul dan mengawal selia, adat budaya atau tradisi yang tidak termasuk dalam kategori darjah kebesaran yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.