Kiriman pada: Wed, Dec 23rd, 2015

Ratapan Anak Mangsa Nahas Bas Di CHIANG MAI

Kongsi maklumat ini
Tags

KL04_231215_NAHAS_CHIANG MAIPetaling Jaya – “Ayah, jom kita balik rumah,” kata Lum Ker Sin, sebaik sahaja jasad bapanya, Lum See Seng, 63, yang terkorban dalam nahas bas di Chiang Mai, Thailand pada Ahad lalu, tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang awal hari ini.

Ker Sin, 23, mengiringi keranda bapanya yang diusung keluar dari pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand bersama-sama 12 keranda jasad mangsa yang lain.

Ketika keranda bapanya hendak dimasukkan ke dalam kereta jenazah, Ker Sin yang berkemeja-T putih dan berseluar jeans biru, memegang keranda itu dan kedengaran mengungkapkan:

“Ayah, kita sudah sampai ke Malaysia. Jom kita balik rumah kita di Batu Pahat pula,” dalam bahasa Mandarin dengan penuh hiba dan sayu.

Anak perempuan See Seng itu merupakan antara anggota keluarga 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas tragik itu yang diterbangkan ke Chiang Mai untuk urusan pengecaman mayat sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Mereka diterbangkan dengan pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand yang mendarat di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini masing-masing pada 3.32 pagi dan 3.38 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita, Ker Sin berkata mayat bapanya, seorang penjual teh herba di Batu Pahat, akan dibakar terlebih dahulu mengikut upacara agama Buddha sebelum disemadikan di Batu Pahat.

Selain jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas itu, turut dibawa pulang ialah seorang daripada lapan mangsa yang cedera iaitu Lee Siew Kim, 61, serta waris mangsa yang terlibat.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mah, yang juga Presiden Gerakan, berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan dari segi pengangkutan dan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa nahas bas itu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.