Kiriman pada: Thu, Jul 31st, 2014
Rencana | Oleh

Raya dulu bukan yang sekarang

Kongsi maklumat ini
Tags

3959203414_10847325a7TIGA hari lepas seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri bagi tahun 1435H setelah selesai menunaikan amalan berpuasa selama sebulan. Apabila mengenangkan sambutan Aidilfitri kira-kira hampir 40 tahun lalu, hati ini berasa amat gembira.

Saat paling menggembirakan ketika itu adalah ketika mendapat duit raya walaupun jumlahnya tidaklah begitu besar. Sepuluh sen yang diterima sebagai duit raya sungguh bernilai pada masa itu.

Duit raya yang diperoleh akan digunakan untuk membeli air lemonade ataupun air sarsi yang hanya setahun sekali dapat dibeli walaupun ketika itu hanya berharga empat puluh sen bagi setiap botol. Kadang-kadang kasut hari raya yang dibeli ialah kasut sekolah yang dapat digunakan untuk ke sekolah.

Kini segalanya sudah berubah. Aidilfitri kini tidak lagi seperti Aidilfitri dahulu. Suasananya sudah semakin suram jika dibandingkan suasana zaman dahulu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pembangunan dan kemodenan yang kita kecapi telah menghakis aura hari yang mulia ini.

Aidilfitri telah digunakan oleh masyarakat dahulu untuk berkunjung ke rumah sanak saudara serta jiran tetangga dengan membawa semua ahli keluarga walaupun hanyalah dengan berjalan kaki.

Kini, budaya itu semakin terhakis kerana budaya kunjung-mengunjungi kurang diamalkan. Rancangan hiburan yang disiarkan saluran televisyen menjadikan masyarakat lebih selesa berada di rumah.

Pertambahan bilangan saluran televisyen, sama ada percuma ataupun berbayar menyebabkan masyarakat mempunyai banyak pilihan untuk menonton televisyen.

Oleh itu, budaya kunjung-mengunjungi kurang diamalkan, kalaupun ada hanyalah melibatkan suami dan isteri sahaja tanpa membawa anak mereka bersama-sama walaupun perjalanan kini menjadi lebih mudah.

Tidak hairanlah jika ada remaja kini yang sudah tidak mengenali sepupu mereka sendiri kerana sikap antisosial ini.

Apabila tiba Aidilfitri, antara perkara yang ditunggu-tunggu ialah kad ucapan. Kehadiran kad ucapan ini begitu menggembirakan kerana setiap kad ucapan dihiasi dengan pantun-pantun indah yang menyentuh perasaan.

Kemunculan sistem perhubungan moden seperti SMS, WhatsApp, Twitter dan Facebook telah ‘menguburkan’ amalan mengirim kad-kad ucapan Aidilfitri.

Terkuburnya kad-kad ucapan Aidilfitri menyebabkan terkuburnya juga pantun-pantun indah sempena Aidilfitri terutama yang berkonsepkan amalan bermaaf-maafan. Kalau ada sekalipun pantun-pantun Aidilfitri melalui perhubungan moden ini, namun keindahannya sudah pun hilang.

Ketupat, rendang, dodol, lemang, tapai beras dan wajik merupakan makanan tradisi yang menjadi hidangan wajib semasa Aidilfitri sebelum ini. Boleh dikatakan setiap rumah mempunyai hidangan wajib ini kerana aura Aidilfitri turut dicetuskan oleh makanan tradisi.

Bukan tidak ada lagi hidangan tradisi ini tetapi amat jarang dapat dilihat. Fungsi penyeri hari raya telah diambil alih oleh kuih-muih dan biskut moden yang dibeli di kedai walaupun ada yang membuatnya sendiri.

Pembangunan dan kemodenan menyebabkan mobiliti manusia tidak terbatas. Keterbatasan dari segi tempat bekerja yang jauh dari kampung halaman serta kekangan untuk mendapatkan cuti hari raya menghalang semua ahli keluarga berkumpul secara total.

Ada yang dapat balik beraya pada hari raya ketiga sedangkan pada hari itu ada yang sudah bertolak semula ke tempat kerja. Dari segi perkahwinan pula, perbezaan amat ketara antara masyarakat dahulu dengan kini.

Masyarakat kini banyak berkahwin dengan pasangan yang berasal dari negeri berbeza kerana mereka menjalinkan percintaan di tempat belajar ataupun di tempat kerja. Situasi ini nyata berbeza dengan masyarakat dahulu yang biasanya hanya bekerja di kampung sendiri dan mengahwini gadis sekampung.

Kita tidak boleh menolak pembangunan dan kemajuan kerana perkara ini berlaku secara menyeluruh. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa nilai-nilai budaya yang kita amalkan akan semakin luntur secara beransur-ansur.

Namun, kita berharap agar kemajuan dan kemodenan tidak turut menenggelamkan satu lagi harta kita iaitu bahasa Melayu. Dirgahayu Bahasaku!

Mengenai pengirim

-

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.