Kiriman pada: Mon, Oct 3rd, 2016

Red Bull Racing Raih Kedudukan 1-2 Di Sepang

Kongsi maklumat ini
Tags

daniel-ricciardoSepang – Dua pemandu Red Bull Racing meneruskan kecemerlangan daripada sesi kelayakan semalam, untuk meraih kedudukan 1-2 di Grand Prix Formula Satu Malaysia, di sini hari ini.

Daniel Ricciardo dari Australia mencatat masa satu jam 37 minit 12.776 saat, 2.443s di hadapan rakan sepasukan, Max Verstappen dari Belanda yang menamatkan perlumbaan dalam masa 1:37:15.219s manakala pemandu Jerman, Nico Rosberg dari Mercedes AMG Petronas ketiga dengan 1:37:38.292s.

Ini adalah kali kedua pasukan itu meraih kedudukan 1-2 di Litar Antarabangsa Sepang selepas Sebastian Vettel (Jerman) dan Mark Webber (Australia) melakukannya pada perlumbaan edisi 2010.

Kemenangan Ricciardo ini adalah yang pertama untuknya musim ini.

“Ia adalah sesuatu cukup beremosi. Ini adalah kemenangan pertama selepas dua tahun. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya. Ia cukup hebat,” kata pemandu berusia 27 tahun itu yang telah menang tiga perlumbaan bersama pasukan itu sejak 2014.

Kedua-dua pemandu Red Bull Racing itu bermula di barisan kedua di belakang pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Mereka terbabit dalam saingan sengit sesama sendiri sejak pertengahan perlumbaan, dengan berlumba sebelah-menyebelah sebelum Ricciardo beroleh kelebihan sehingga mereka bersaing kali terakhir selepas Hamilton gagal meneruskan aksinya.

Ricciardo, yang terlepas kemenangan kepada pesaingnya dari Mercedes di Grand Prix Monaco, Mei lepas berikutan kesilapan ketika di pitstop, gembira dengan tuahnya di Malaysia.

“Nasib jelas berbeza ketika di Monaco dan hari ini saya mampu menikmatinya. Jangan kecil hati Lewis, tetapi saya sememangnya layak memenanginya,” kata pemandu Australia itu.

Sementara itu, Verstappen yang baru meraikan ulang tahun ke-19 Jumaat lepas, berkata: “Rentak dan aksi kami cukup baik hari ini, saya menikmati perlumbaan ini! Saya gembira dengan kedudukan kedua ini dan ia adalah keputusan terbaik untuk Red Bull Racing.”

Walaupun menerima penalti 10 saat selepas berlanggar dengan kereta Ferrari yang dipandu Kimi Raikkonen, Rosberg melebarkan jurang kelebihan kepada 23 mata daripada rakan sepasukan, Lewis Hamilton dalam kedudukan pemandu selepas menamatkan 16 daripada 21 perlumbaan musim ini.

“Saya fikir segalanya telah berakhir di Selekoh Satu. Saya gembira dapat bangkit memberi saingan selepas itu,” kata Rosberg yang terpaksa memulakan saingan di posisi ke-21 berikutan insiden pelanggaran pertama dengan seorang lagi pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di permulaan perlumbaan.

“Sudah tentu saya gembira dengan kebangkitan itu dan mendapat penamat podium. Saya sebenarnya tidak fikir ia mampu dilakukan,” katanya.

Berikutan pelanggaran itu, Vettel yang juga juara bertahan Grand Prix F1 Malaysia, gagal meneruskan aksinya.

Juara dunia, Hamilton yang mendahului perlumbaan sejak awal, juga terpaksa menghentikan aksinya ketika di Selekoh Satu pusingan ke-41 apabila enjin keretanya terbakar.

Masalah itu memberi kesan besar kepada peluangnya untuk merampas posisi pendahulu dalam kedudukan pelumba.

“Ada sesuatu yang tidak kena. Ia adalah enjin baharu dan saya baru berlumba sekali menggunakannya. Saya tidak percaya ada lapan kereta pasukan dan hanya enjin saya mengalami semua ini tahun ini. Ada sesuatu yang tak kena tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan,” kata Hamilton.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.