Kiriman pada: Thu, Mar 19th, 2015

RM1 Juta Disalur Bantu 15,868 Warga Kementerian Pendidikan

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI MUHYIDDIN YASSINKuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini menyampaikan bantuan RM1 juta bagi membantu 15,868 warga Kementerian Pendidikan yang terjejas akibat banjir besar tahun lepas.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata peruntukan itu diperoleh daripada tabung bantuan bencana melalui Tabung Persatuan Sukan dan Kebudayaan, Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilancarkan 5 Jan lepas.

Objektif tabung bencana itu adalah untuk memberi bantuan sumbangan kewangan kepada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), guru dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP) yang merupakan mangsa banjir.

“Seramai 15,868 pegawai JPN atau PPD, guru dan AKP yang terjejas bencana banjir tahun lepas. Daripada jumlah itu, 205 orang dikategorikan terjejas pada tahap sangat kritikal manakala 15,663 orang pada tahap sederhana kritikal,” katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di Menara Parlimen, Parlimen, di sini.

Muhyiddin menyampaikan replika cek sumbangan kepada pengarah-pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu diagihkan kepada mangsa banjir kategori sangat kritikal dengan jumlah RM500 seorang.

Agihan peruntukan bagi kategori sederhana kritikal diserahkan kepada JPN untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah terlibat banjir.

JPN Kelantan menerima bantuan RM559,500 diikuti Terengganu (RM160,000), Pahang (RM71,500), Sabah (RM64,000) dan masing-masing RM24,000 bagi JPN Perak dan Sarawak.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.