Kiriman pada: Sun, Dec 4th, 2016

Rohingya – Malaysia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan

Kongsi maklumat ini
Tags

desakKuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak badan antarabangsa serta negara komuniti ASEAN mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Beliau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya tidak sekadar menyaksikan kekejaman berlaku, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“OIC, tolong jangan tengok saja, lakukanlah sesuatu. PBB, dunia tidak boleh berdiam diri dan hanya menyaksikan pemusnahan bangsa, ini adalah masalah kita. Beratus ribu sebelum ini mati di Rwanda dan Bosnia, dunia hanya melihat dan lewat bertindak, kali ini kami tidak mahu hanya menunggu dan melihat,” katanya pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.

Najib turut meminta Presiden Indonesia Joko Widodo supaya mengadakan perhimpunan aman dengan rakyat negara itu sebagai tanda memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya.

“Jangan protes Ahok (Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama) sahaja, Rohingya mesti diperjuangkan, mereka boleh berhimpun di Jakarta, kita nak tunjuk kita tidak reda, kita mesti bertamadun, jaga nyawa dan harta benda, ini tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada maqasid syariah…ini wajib,” katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata Malaysia akan terus bertindak menggunakan apa jua saluran untuk meletakkan tekanan ke atas kerajaan Myanmar sehingga umat Islam Rohingya bebas daripada kezaliman.

Beliau berkata isu Rohingya begitu mencengkam kalbu umat Islam di negara ini kerana agama Islam dihina manakala hak asasi manusia pula dirobek.

“Hari ini umat Islam dan bukan Islam menyatakan pendirian kita yang cukup tegas bahawa kita nak memberi isyarat kepada kerajaan Myanmar, nak beritahu Aung San Suu Kyi… sudahlah tu,” katanya sambil menjelaskan Malaysia bukan mahu campur tangan dalam urusan negara berkenaan.

Kata Najib, kehadiran beliau pada perhimpunan itu walaupun digertak kerajaan Myanmar, sebagai mempertahankan bukan hanya agama Islam, tetapi hak asasi manusia. “Ia (Myanmar) pakai satu saja artikel dalam ASEAN iaitu kita tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negara lain, dia tidak baca artikel lain mengenai hak asasi manusia.

ASEAN juga mempertahankan hak asasi manusia, mereka ini buta ke? Janganlah tafsir ikut sesuka hati.

“Apabila berlaku kezaliman, kekejaman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol, dipukul… apakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?,” katanya sambil mempersoalkan makna anugerah Nobel Keamanan yang dimiliki pemimpin negara tersebut.

Perdana menteri berkata beliau selaku ketua kerajaan yang mewakili 31 juta rakyat Malaysia tidak boleh ‘tutup mata’ dan membisu dengan kekejaman yang berlaku.

Dalam pada itu, Najib berkata perhimpunan hari ini turut melakar sejarah kerana rakyat mengetepikan perbezaan politik atas nama Islam dan kesatuan ummah.

“Kita ada UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.