Kiriman pada: Thu, Aug 6th, 2015

Rokok seludup jenayah berat

Kongsi maklumat ini
Tags

rokok seludup 1Gua Musang: Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam berdepan hukuman berat didenda sehingga RM238,928 atau penjara tiga tahun sekiranya disabit kesalahan atas tuduhan memiliki 666 karton rokok seludup.
Mohd Shabudin Awang Derani, 41, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Dia didakwa memiliki barang larangan import bernilai RM11,946.40 di dalam sebuah Proton Iswara yang diletakkan di luar sebuah rumah di Kesedar Paloh 1, RKT Paloh, di sini, pada 7.30 pagi 31 Julai lalu.
Barangan itu membabitkan 19 karton rokok Gudang Garam Nusantara Kretek Mild, rokok Gudang Garam Nusantara Menthol Mild (61 karton), rokok LA Lights (131 karton), rokok Minna International (29 karton), rokok Lutfman Mild Kretek (57 karton), rokok Tex Full Flavour (37 karton), rokok Crazy Horse Filter King (sembilan karton) dan rokok Premium International (24 karton).
Selain itu, turut ditemui ialah 34 karton rokok Tex Menthol, rokok Astro (25 karton), rokok Canyon (18 karton), rokok Saat (sembilan karton), rokok John 9G (42 karton), rokok John F1 (37 karton), rokok John King (54 karton), rokok John W2 (49 karton) dan rokok John White W3 (31 karton).
Semua barangan itu dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.
Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Karthy Gasedev Deva Rajoo menawarkan jaminan RM50,000 kepada tertuduh berikutan kesalahan dilakukan serius membabitkan hasil negara.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ridzuan Muhamad memohon jaminan dikurangkan berikutan menanggung keluarga dan mempunyai anak sakit jantung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di Kuching, Sarawak, seorang peniaga didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas mengaku bersalah menjual rokok seludup, Jun lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu selepas Noh Ayub, 72, mengaku bersalah menjual rokok seludup pelbagai jenama ketika pemeriksaan dilakukan di kedainya pada 22 Jun lalu di Jalan Kampung Bako di sini.
Berdasarkan fakta kes, dia dituduh memiliki 27 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM38.52 dengan nilai duti import RM84.
Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pegawai Pendakwa JDKM Sarawak Jacqueline Charlie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh berikutan kesalahan dilakukan serius dan ia membabitkan hasil negara.
Zubaidah menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.