Kiriman pada: Fri, Jul 24th, 2015

Rumah terbuka patut utama golongan miskin, jiran terdekat

Kongsi maklumat ini
Tags

24buka2.transformedMasa berlalu sangat pantas. Sambutan Aidilfitri yang masuk hari ketujuh menandakan bulan yang diberkati makin jauh meninggalkan kita. Persoalan seharusnya memenuhi ruang hati dan fikir apakah kita berpuas hati dengan prestasi amalan ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan lalu. Ulama terdahulu sangat mengambil berat mengenai Ramadan sehinggakan selepas berlalunya bulan mulia itu, mereka memanjatkan doa yang sama sepanjang enam bulan selepasnya, memohon semua amal ibadah dilakukan pada bulan mulia itu diterima oleh Allah SWT. Selepas tempoh itu, mereka menadah tangan memohon doa supaya Allah SWT memanjangkan usia mereka sehingga dapat bertemu dan beribadah lagi pada Ramadan akan datang. Doa sama kita panjatkan semoga Allah SWT menerima amalan dan memberikan keizinan bertemu dengan Ramadan akan datang.
Selepas berjaya menjalani ibadah sebulan Ramadan, Allah SWT memberi kita waktu untuk menzahirkan kegembiraan melalui sambutan Aidilfitri. Umat Islam keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan mengenakan pakaian baharu. Mengenakan pakaian baharu kerap diertikan dengan mengenakan pakaian yang baharu dibeli, sedangkan ia sebenarnya bukanlah sebegitu maksudnya. Kesilapan ini ada kala menyebabkan ramai yang berbelanja boros dan melebihi had kemampuan serta berhutang semata-mata ingin membeli baju baharu. Elak pembaziran Pemahaman seperti itu perlu diubah bagi mengelakkan pembaziran serta penggunaan wang melebihi keperluan. Ia sebenarnya merujuk kepada pakaian yang masih elok, cantik dan bersesuaian dengan suasana hari raya. Sebulan Syawal ini, ramai yang mengambil peluang mengadakan rumah terbuka untuk meraikan saudara-mara serta sahabat handai. Rumah terbuka diadakan dengan memilih satu hari tertentu yang mana tuan rumah akan menyediakan juadah menarik hari raya seperti lemang, nasi himpit, kuah kacang dan biskut raya. Tetamu akan bertandang pada hari itu dan menjamu selera bersama-sama. Ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia. Selalunya cuti hujung minggu menjadi pilihan untuk menjayakan rumah terbuka. Jika diperhatikan, budaya ini terutama di bandar secara tidak langsung menyebabkan wujudnya kesan baharu dalam masyarakat. Antaranya, tetamu hanya bertandang ketika rumah terbuka diadakan sahaja. Ia berbeza dengan budaya silam yang sentiasa membuka pintu untuk tetamu. Walaupun ia bukanlah satu kesalahan, kita perlu mengambil berat supaya ia tidak meminggirkan apa yang biasa diamalkan terdahulu dalam masyarakat Melayu Islam. Ketika mengadakan rumah terbuka, jangan kita lupa jiran terdekat. Tidak sedikit yang membuat rumah terbuka untuk rakan sepejabat, tetapi jiran sebelah rumah tidak dijemput. Begitu juga, jangan ditinggalkan golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah. Hakikat sebenar yang dianjurkan Islam adalah membuat jamuan makan serta mengajak orang terdekat dan yang tidak berkemampuan untuk makan bagi menggembirakan mereka pada Syawal ini. Wajarlah kita meraikan mereka saudara seagama dan orang yang hampir dengan kita. Sepanjang Syawal juga, Allah SWT turut mensyariatkan satu lagi amalan mulia untuk umat Islam mengumpulkan pahala iaitu melaksanakan puasa sunat enam hari. Ganjaran besar dijanjikan Allah SWT bagi orang yang menyempurnakan puasa Ramadan diikuti puasa enam hari Syawal.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.