Kiriman pada: Wed, Feb 1st, 2017

Rundingan Tukar Empat Kerusi Gerakan-MCA Selesai Satu Hingga Dua Bulan Lagi

Kongsi maklumat ini
Tags

Melaka – Perbincangan mengenai cadangan pertukaran empat kerusi antara Gerakan dan MCA dijangka selesai dalam satu hingga dua bulan lagi, kata Naib Presiden Gerakan A. Kohilan Pillay.

Bagaimanapun katanya sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebelum dimuktamad dan diumum.

“Selepas itu kita atur strategi bagi menghadapi dan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Gerakan, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi Gerakan Melaka Datuk Chua Lian Chye.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum ini dilaporkan berkata parti itu sedia menukar empat kerusi dengan parti komponen lain, melibatkan kerusi dewan undangan negeri dan parlimen di Pulau Pinang dan negeri lain.

Kenyataan Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu senada dengan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan yang dilaporkan berkata MCA Pulau Pinang bersedia melakukan pertukaran atau pinjaman kerusi dengan parti komponen lain sekiranya perlu.

Sementara itu, Chua berkata Gerakan Melaka telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan yakin dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bachang.

Beliau berkata semua jentera di setiap peringkat telah digerakkan secara bersepadu bagi menarik minat pengundi tua dan muda di kawasan berkenaan untuk kembali mengundi parti berkenaan.

DUN Bachang merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi Gerakan di Melaka pada PRU-13 lalu yang menyaksikan Chua tewas kepada wakil DAP Lim Jak Wong dengan majoriti 2,672 undi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.