Kiriman pada: Sat, Jan 21st, 2017

Sah Ada Laporan Salah Laku Bekas Pengarah SPRM

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan laporan polis telah dibuat terhadap bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zain yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa semasa perkhidmatannya.

Khalid hari ini mengesahkan bahawa laporan itu dibuat beberapa kali pada tahun lalu di Kelantan.

“Kami menerima laporan polis pada tahun lalu jika tidak silap saya. Siasatan telah dijalankan dan kami menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Seperti biasa, kita perlu menyiasat kerana terdapat laporan dibuat dan apa sahaja penemuan akan diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 10/2017 di Persada PLUS sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Terdahulu, biras Bahri, Noraihan Che Ali mendakwa, semasa Bahri masih pengarah bahagian operasi khas, beliau mengarahkan satu pasukan dari bahagiannya untuk menggeledah rumah di Kota Bharu pada Januari tahun lepas.

Noraihan, Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) mendakwa dokumen yang berkaitan dengan kolejnya dan perniagaan lain telah dirampas.

Menurut Noraihan, arwah suaminya Muhamad Zamly Abdullah yang merupakan pemilik KIST dan abang kepada isteri Bahri, Noor Haslina Abdullah telah meninggal dunia pada bulan September 2015 dengan meninggalkan aset bernilai RM100 juta dan hutang RM85 juta.

Ekoran itu, Noraihan mendakwa pertikaian meletus antara adik beradiknya arwah suaminya dengan beliau dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.