Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Saman Adnan Terhadap Utusan Didengar Di Mahkamah Tinggi

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman fitnah dikemukakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati adalah tidak adil untuk membatalkan kes saman berkenaan pada peringkat ini.

Turut bersidang Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Aziah Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Zulkefli dalam keputusannya berkata, persoalan sama ada Adnan memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi atau atas kapasiti rasmi dan merit kes berkenaan, hendaklah diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata demikian selepas membenarkan rayuan Adnan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu yang membatalkan saman terbabit selepas membenarkan rayuan Utusan Melayu.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman pentingnya memutuskan bahawa ahli politik tidak boleh menyaman media bagi tuduhan memfitnah atas kedudukan mereka sebagai tokoh masyarakat.

Adnan menyaman Utusan Melayu pada 5 Disember 2014 berhubung penerbitan sebuah artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia bertajuk, Hebat Sangatkah Adnan pada 9 November tahun sama.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta permohonan maaf dan jaminan untuk tidak menyiarkan lagi bahan berunsur fitnah terhadapnya.

Utusan Melayu gagal dalam cubaannya untuk mengetepikan saman sivil itu di Mahkamah Tinggi pada 23 Julai 2015 dan merayu keputusan berkenaan kepada Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding semalam, peguam Datuk M Reza Hassan mewakili Utusan Melayu manakala Americk Singh Sidhu bertindak bagi pihak Adnan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.