Kiriman pada: Fri, Jul 31st, 2015

Sambutan Hari Pahlawan 2015 Diadakan Penuh Adat Istiadat

Kongsi maklumat ini
Tags

TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAHKuala Lumpur – Sambutan Hari Pahlawan 2015 di beberapa negeri hari ini, diadakan dengan penuh adat istiadat kepahlawanan bagi memperingati jasa pasukan keselamatan yang berjuang dan berkorban demi kemakmuran negara.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menyaksikan istiadat sambutan yang diadakan di Dataran Merdeka.

Sebaik tiba, Seri Paduka Baginda memeriksa kawalan kehormat utama terdiri daripada anggota Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Mejar Herdi Ismail dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Seramai 531 orang terlibat dalam perbarisan yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Darat Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Upacara dimulakan dengan tiupan ‘Paluan Akhir’ dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang telah terkorban demi mempertahankan nusa dan bangsa.

Persembahan pentomen mengenai serangan Balai Polis Kuala Krau, Pahang pada 26 Jun 1948 menyentuh perasaan penonton sebaik adegan isteri kepada ‘mata-mata’ (polis), Mohd Yusoff Mohamad iaitu Mahani Konel yang sarat mengandung terkorban kerana membantu suaminya mempertahankan balai itu daripada serangan komunis, dimainkan.

Turut dipersembahkan ialah kisah ASP Mohd Zabri Abdul Hamid dari Platun 69 Komando yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir menentang komunis di Sungai Siput, Perak dalam Ops Banboo 2 pada tahun 1975.

Tarikh 31 Julai ditetapkan sebagai Hari Pahlawan pada setiap tahun sempena hari perisytiharan tamatnya zaman darurat pada 1960 dan ia pertama kali diadakan pada 4 Ogos 1968.

Istiadat tahun ini merupakan sambutan kali kelima berlangsung di Dataran Merdeka selepas berpindah dari Tugu Negara pada tahun 2010. Tahun lepas sambutan itu diadakan di Kem Perdana Sungai Besi.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.