Kiriman pada: Wed, Mar 25th, 2015

Sapura Kencana Peroleh 14 Kontrak Bernilai RM5.1 Bilion Bagi 2015

Kongsi maklumat ini
Tags

SapuraKencanaKuala Lumpur – SapuraKencana Petroleum Bhd, memperoleh 14 kontrak yang menyumbang kira-kira RM5.1 bilion kepada kontrak dalam tangan Kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Jan 2015.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Shahril Shamsuddin , ia merangkumi lima kontrak baharu dan sembilan lanjutan kontrak.

“Tahun ini, kami menerima serahan dua baj tender baharu, mengembangkan operasi di Afrika Barat dan menyiapkan dua kontrak di Myanmar.

“Kumpulan menjana pendapatan berjumlah RM9.9 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM1.6 bilion bagi tahun kewangan yang baru berakhir berbanding RM8.4 bilion dan RM1.2 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2014,” katanya.

Prestasi lebih baik itu disebabkan terutamanya oleh penyertaan perniagaan Sapura Kencana Energy Inc (SKEI), subsidiari milik penuhnya yang selesai diambil alih pada 11 Feb 2014.

Pendapatan sesaham syarikat meningkat 27 peratus daripada 18.9 sen kepada 23.9 sen sesaham bagi tempoh sama.

Shahril berkata bahagian tenaga mengeluarkan 5.1 juta tong minyak dari medan minyak di Semenanjung Malaysia.

“Kami juga menandatangani dua blok eksplorasi baharu di Sabah (SB331 & SB332) serta memeterai tiga kontrak perkongsian pengeluaran bernilai AS$400 juta di Vietnam dengan PetronasCarigali,” katanya, menambah bahawa projek-projek terbabit meletakkan SapuraKencana di landasan pertumbuhan pada masa depan menerusi pengembangan ke pasaran baharu.

Shahril berkata beliau menjangka pasaran kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan harga minyak namun yakin dengan tumpuan berterusan syarikat dalam kecekapan operasi, pengoptimuman kos serta usaha yang agresif untuk memperoleh perniagaan baharu di seluruh dunia.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.