Kiriman pada: Fri, Mar 6th, 2015

Saran Akaun 1MDB Disah Secara Bebas

Kongsi maklumat ini
Tags

a7a8Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan Ketua Audit Negara supaya mengesahkan secara bebas akaun 1MDB sejak awal penubuhannya.

Menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya akaun 1MDB disahkan secara bebas, Muhyiddin menjelaskan saranan yang dikemukakannya itu berlandaskan kepada tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu yang dibuat sejak tahun 2009 lagi.

“Saya menyambut baik arahan Perdana Menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB yang mana laporannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk penelitian lanjut.

“Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya. Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte,” katanya.

Menurutnya lagi, ia termasuklah tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International yang dibangkitkan beberapa portal berita.

Pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh katanya adalah penting untuk membersihkan nama dana pelaburan strategic milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

“Ini termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International seperti yang ditimbulkan oleh beberapa portal berita.

“Saya percaya pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh adalah penting untuk membersihkan nama dana pelaburan strategik milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku,” ujar beliau.

Selain itu beliau turut menyarankan supaya Ketua Audit Negara diberikan sokongan dari segi sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan laporan kerana ia melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks selain menyentuh kepentingan negara dan kerajaan.

“Oleh kerana dakwaan terhadap 1MDB melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks serta menyentuh kepentingan negara dan kerajaan, Ketua Audit Negara mestilah diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan satu laporan yang lengkap dan komprehensif.

“Ini penting untuk memulihkan reputasi 1MDB dan mengembalikan keyakinan pelabur. Audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga boleh memulakan siasatannya sendiri tanpa perlu menunggu Laporan Ketua Audit Negara disiapkan,” katanya lagi.

1MDB tegas beliau perlu memandang serius setiap dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutamanya di media sosial.

“1MDB mesti memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial. Untuk membersihkan nama 1MDB, tindakan undang–undang hendaklah diambil terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urusniaga 1MDB,” ujar Muhyiddin.

Tambah beliau, Lembaga Pengarah perlulah memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

Muhyiddin turut menegaskan supaya sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak seharusnya melibatkan penggunaan dana awam.

“Lembaga Pengarah perlu memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

“Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.

Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam,” tegas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.