Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Sarawak Negeri Model 1Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Sarawak sebagai negeri model 1Malaysia dengan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup secara aman dan harmoni di bawah bumbung yang sama.

Perdana Menteri yang memuat naik rumusan lawatan kerjanya ke Bumi Kenyalang itu selama tiga hari berakhir Jumaat lalu di laman blog rasminya, www.najibrazak.com, malam tadi berkata sikap rakyat negeri itu perlu dicontohi oleh negeri-negeri lain kerana mereka bukan sahaja mengamalkan toleransi tetapi turut meraikan kepelbagaian.

“Saya beri komitmen dan jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan kesejahteraan masyarakat Sarawak dan seluruh Malaysia terus dipelihara.

“Saya tegaskan juga bahawa hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, serta pendidikan vernakular yang dekat di hati masyarakat Sarawak akan terus dipertahankan oleh kerajaan BN,” katanya.

Najib berkata, dalam lawatan kerja itu, beliau telah mendengar taklimat daripada kerajaan negeri mengenai status terkini membabitkan pelbagai perkara.

Beliau menegaskan masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan diusahakan, selain membantu ramai lagi yang memerlukan walaupun hasil lawatan itu menyaksikan banyak perkara dicapai dengan pembangunan Sarawak kini berada di landasan yang betul, lebih-lebih lagi dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan meningkatkan pendekatan turun padang dan melihat sendiri keperluan serta menyelesaikan masalah-masalah di peringkat akar umbi.

“Kerjasama yang erat ini penting dalam matlamat kita untuk mengutamakan pencapaian dan mendahulukan rakyat,” katanya.

Najib juga menyifatkan lawatannya pada kali ini amat bermakna kerana ia adalah lawatan pertama bersama Ketua Menteri yang baharu dilantik, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Abang Johari atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu, percaya hubungan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan kekal erat di bawah pentadbiran Abang Johari.

“Saya dan Abang Johari mempunyai hubungan yang istimewa, jika ikutkan sejarah, bapa beliau dan bapa sayalah yang menandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963.”

Oleh itu, kami berdua mempunyai tanggungjawab moral untuk meneruskan legasi kedua arwah ayahanda kami dalam memastikan aspirasi di bawah Perjanjian Malaysia terus dipelihara,” katanya.

Najib pada masa sama berkata hak-hak Sarawak akan terus dihormati dan jika ada sebarang hakisan, beliau yakin segala usaha akan dilaksanakan untuk membetulkan apa yang salah.

“Setakat ini, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju mengenai 13 perkara berhubung penurunan kuasa dan saya bangga ada perkara telah berjaya kita laksanakan seperti pegawai undang-undang negeri dilantik sebagai timbalan pendakwa raya dan peningkatan 100 jawatan baharu di Jabatan Imigresen Sarawak.

“Perbincangan akan terus diadakan untuk perkara-perkara lain antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, beliau turut melawat Lundu, kawasan bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, selain merasmikan Medan Selera Lundu yang merupakan salah satu inisiatif Allahyarham dalam melaksanakan transformasi luar bandar.

Beliau turut meluluskan projek penambahbaikan infrastruktur air untuk menaik taraf kualiti hidup rakyat di Lundu selepas dimaklumkan penduduk di situ menghadapi masalah air.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Najib yang juga Pengerusi BN, yakin calonnya, Datuk Amar Jamilah Anu yang juga balu kepada Allahyarham Adenan, yang disayangi masyarakat tempatan, akan dapat meneruskan usaha-usaha Allahyarham dalam mentransformasikan kawasan luar bandar.

“InsyaAllah, semoga usaha-usaha untuk memajukan Sarawak akan terus diberkati Allah SWT,” katanya. PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN menentang Rapelson Richard Hamit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan Johnny Aput daripada Parti Reformasi Negeri (Star).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.