Kiriman pada: Mon, Aug 17th, 2015

Sarawak Rumus Pelan Tangani Isu, Cabaran Untuk Capai Matlamat RMK-11

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI ADENAN SATEMKuching – Pelan Transformasi Sosio-Ekonomi Sarawak (SETP) akan membolehkan negeri itu menangani pelbagai cabaran dan isu dalam meningkatkan tahap pendapatan serta mengurangkan jurang pendapatan, iaitu matlamat utamanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pelan itu dibentang oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam sidang sehari RMK-11 di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Beliau berkata, di bawah RMK-11, negeri ini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi di antara enam dan tujuh peratus setahun.

Menurutnya, keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal dijangka meningkat daripada RM122.5 bilion pada 2015 kepada RM171.3 bilion pada 2020.

“Dalam tempoh yang sama, KDNK per kapita nominal juga dijangka meningkat daripada RM46,489 kepada RM61,406.

“Di bawah RMK-11, semua sektor dijangka mencatat pertumbuhan positif dengan pemacu utama terdiri daripada pembinaan, perkhidmatan dan pengeluaran,” tambahnya.

Adenan berkata, SETP adalah pelan menyeluruh, berjangka panjang, bersepadu dan seimbang dengan objektif utama meningkatkan pertumbuhan pendapatan serta mengurangkan jurang pendapatan.

Menurut beliau, SETP adalah pelan lebih 25 tahun daripada 2016 hingga 2030 dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Fasa penting pertama ialah daripada 2016 hingga 2020 dan untuk pelaksanaan di bawah RMK-11.

“Untuk Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020, ia perlu tumbuh pada 8.5 peratus di segi KDNK sebenar.

“Dengan kadar pertumbuhan ini, pendapatan negara kasar sebenar per kapita menjelang 2020 diunjurkan pada RM50,600 dan kira-kira RM1,100 melepasi definasi negara berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.

“Bagaimanapun, senario pertumbuhan ini tidak mungkin dicapai setelah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global dan negara. Adalah penting untuk kita menjadi lebih praktikal dan realistik dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi kita.

“Oleh sebab itu, di bawah SETP, negeri ini diunjurkan tumbuh 6.5 peratus setahun untuk mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. Ini adalah lebih realistik berbanding 8.5 peratus setahun jika kita ingin mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020,” kata Adenan.

Beliau juga berkata, Sarawak akan memberi tumpuan kepada enam strategi utama, iaitu menstrategikan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan pemboleh pertumbuhan, merubah kawasan luar bandar, memastikan pengurusan persekitaran dan sumber yang mampan, membangunkan modal insan sebagai pemangkin pertumbuhan serta meningkatkan kualiti hidup bagi mencapai matlamat RMK-11.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.