Kiriman pada: Tue, Jul 28th, 2015

Saya Akan Beri Perkhidmatan Terbaik

Kongsi maklumat ini
Tags

fjfyKota Kinabalu – Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang baharu.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau akan berusaha memastikan dasar-dasar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

Salleh berkata beliau akan mengambil pendekatan kerja berpasukan seperti diharapkan Najib agar segala dasar dapat dilaksanakan secara berkesan seterusnya sampai kepada rakyat.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai Jemaah Kabinet beliau yang baharu diumumkan.

“Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman atas sokongan kepada pelantikan ini. Insya Allah saya akan memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini berhubung pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri.

Salleh berkata sebagai seorang pemimpin politik yang telah diberi amanah oleh pucuk pimpinan, sudah tentu beliau akan mengambil kira semua perkara dalam melaksanakan tugas meskipun berdepan banyak cabaran dalam bidang multimedia yang amat luas serta terkini.

Menurutnya tugas yang dilakukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini amat baik sekali dan mengharapkan semua agensi di bawah kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya sebagai satu pasukan bagi memastikan amanah yang telah diberikan kepada kementerian itu berjalan lancar.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.