Kiriman pada: Mon, Feb 6th, 2017

‘Saya Bukan Terbaik, Tapi Contoh Terbaik’

Kongsi maklumat ini
Tags

Saya sempat menyaksikan perlawanan akhir tenis Terbuka Australia antara Roger Federer dengan Rafael Nadal, Ahad lalu.

Saya cukup teruja melihat aksi kedua-dua pemain bintang itu sepanjang perlawanan berkenaan, aksi final itu berlangsung lebih tiga jam dan saya benar-benar kagum dengan semangat serta ketahanan mental kedua-dua pemain terutama Federer.

Kejayaan Federer yang muncul juara sekali gus merekodkan gelaran ke-18 Grand Slam itu memberi motivasi kepada diri saya dalam usaha memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Kejayaan pemain Switzerland berusia 35 tahun itu adalah bukti usia cuma angka. Saya juga sering memegang prinsip ini. Saya percaya usia bukan penghalang untuk saya menempa kejayaan.

Jika Federer boleh, mengapa saya tidak? Tidak dinafikan, corak permainan Federer memang banyak berubah.

Jika dulu dia lebih agresif namun mungkin disebabkan peningkatan usia, dia lebih bersabar dan melakukan serangan jika mempunyai peluang.

Apa yang saya boleh belajar daripada aksi Federer itu adalah dia mempunyai kekuatan mental yang sangat kuat, pada usia 35 tahun, dia masih boleh bermain dengan baik.

Jika pemain yang sudah berusia pun boleh bermain seperti itu, apa lagi pemain muda yang seharusnya lebih agresif dan tidak mudah putus asa.

Kemahuan tak cukup tinggi Baru-baru ini saya ada membaca beberapa laporan akhbar melaporkan Malaysia ketika ini berada dalam keadaan ‘kritikal’ untuk acara perseorangan lelaki.

Semua berkisar mengenai persoalan siapa akan menjadi pengganti saya.

Persoalan yang saya fikir sudah ditimbulkan sejak beberapa tahun dahulu, sebagai pemain senior dalam skuad kebangsaan, saya mahu menyentuh mengenai sikap pemain muda negara sekarang terutama membabitkan perseorangan lelaki.

Melihat kepada sikap mereka ketika latihan, saya sendiri tidak tahu apa yang mereka fikir.

Kemahuan mereka untuk berjaya tidak cukup tinggi, datang latihan seolah-olah hanya bagi memenuhi syarat mereka sebagai pemain.

Saya pernah katakan kepada pemain muda kita, saya bukanlah yang terbaik tetapi saya boleh jadi contoh yang terbaik untuk mereka.

Pemikiran berbeza, cara pemikiran pemain muda sekarang jelas berbeza berbanding ketika saya seusia dengan mereka.

Program latihan yang dirancang jurulatih dibuat seperti hanya cukup syarat tanpa mereka memikirkan sebab atau manfaat yang akan mereka peroleh.

Jurulatih suruh buat mereka buat tetapi bila latihan keras sedikit, mulalah merungut.

Saya ada menegur seorang pemain, jurulatih suruh dia melakukan latihan pukulan smash sebanyak 10 kali tetapi lapan kali keluar gelanggang, itu bukan latihan.

Dia sepatutnya memberi keutamaan untuk memastikan bulu tangkis itu masuk terlebih dahulu berbanding memikirkan untuk mendapat pukulan yang cantik.

Dulu saya juga mengalami situasi yang sama, tetapi saya belajar daripada setiap kesilapan.

Jika percubaan pertama pukulan smash saya tiga kali tidak masuk, saya pastikan percubaan kedua ia menjadi kurang iaitu kepada dua kesilapan dan seterusnya.

Daripada situ kamu akan mendapat kesempurnaan, ulangi kesilapan, bila dalam latihan dia buat silap yang sama dan sudah terbiasa, apabila menyertai kejohanan pun akan buat silap yang sama, jadi, tiada apa yang dia pelajari.

Kemahuan tinggi adalah penting untuk setiap pemain, mereka perlu tahu apa sasaran dan apa yang mereka mahu capai sebagai pemain badminton.

Dalam masalah ketandusan pemain yang dialami ketika ini, kita tidak boleh menuding jari kepada jurulatih.

Jurulatih hanya memainkan peranan sebanyak 10 hingga 15 peratus dalam sesuatu kejayaan pemain itu, selebihnya adalah terletak di tangan pemain itu sendiri.

Badminton adalah sukan yang memerlukan kita berfikir dan sentiasa bersedia menghadapi setiap taktikal pihak lawan.

Pemain perlu guna otak apabila berada di atas gelanggang, jurulatih pun sudah tidak boleh bantu apabila di atas gelanggang.

Mahu jadi nombor satu dengan sikap pemain muda seperti ini, bagaimana mereka mahu berjaya? Saya bukan mahu cakap besar tetapi perwatakan saya sebagai pemain adalah berbeza dengan yang lain.

Walaupun latihan, saya tetap mahu menjadi nombor satu dalam apa juga yang dilakukan, Saya akan terus pastikan saya kekal nombor satu.

Kini, kami semua sudah ada rumah baharu, Kami sudah mempunyai tempat dan kemudahan latihan yang baharu dengan kewujudan Akademi Badminton Negara (ABM).

Semua pemain sudah mula menjalani latihan di tempat baharu dan diharapkan mereka lebih bersemangat.

Ini adalah pengorbanan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan sukan badminton terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

Jadi, sebagai pemain kita perlu membalas kepercayaan itu.

Oleh – Datuk Lee Chong Wei
Pemain badminton nombor satu dunia

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.