Kiriman pada: Thu, Aug 20th, 2015

Sayangkan Negara, Petani Hasilkan Replika Kapal Guna Jalur Gemilang

Kongsi maklumat ini
Tags

JALUR GEMILANGAlor Setar – Atas semangat sayangkan negara, seorang petani sanggup mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM1,000 bagi membina replika kapal sepanjang 15.24 meter menggunakan Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Batu Lima Setengah, Simpang Empat.

Mohd Salleh Lazim, 44, berkata semangat patriotik yang ada dalam dirinya membuatkan dia tidak berkira untuk mengeluarkan modal yang banyak bagi menyiapkan replika yang berbeza setiap kali menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan.

“Saya mula membuat replika sempena Hari Kemerdekaan sejak tahun 2010 dan pada tahun lepas saya telah menghasilkan replika berbentuk rakit yang dihasilkan menggunakan Jalur Gemilang dan pemilihan replika berbentuk kapal pada tahun ini adalah idea hasil daripada perbincangan bersama ahli keluarga sejak bulan Julai lalu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sejumlah 250 Jalur Gemilang katanya, digunakan bagi menyiapkan replika kapal itu.

Beliau berkata proses menyiapkan replika kapal itu tidak sukar kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada isteri dan lima anaknya dan hanya mengambil masa tiga hari bermula 10 Ogos lepas.

“Saya juga dapat menerapkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam diri anak-anak supaya mereka tidak mudah lupa tentang perjuangan yang terpaksa dihadapi rakyat Malaysia pada zaman dahulu,” katanya.

Katanya, tahun ini merupakan tahun terakhir beliau akan menghasilkan replika di Kampung Batu Lima Setengah, Simpang Empat, di sini kerana akan berpindah ke Kampung Pulau Binjai, dekat sini tetapi beliau akan meneruskan usaha itu di tempat baharu.

Mohd Salleh berkata perasaan bangga dan gembira timbul apabila ada pelancong dari dalam dan luar negara yang datang ke rumahnya untuk melihat replika yang dibinanya.

“Baru-baru ini ada pelancong dari Australia yang datang untuk melihat sendiri replika kapal ini. Selain itu, saya dapat memberi sedikit penerangan kepada mereka tentang sambutan Hari Kemerdekaan di Malaysia,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.