Kiriman pada: Mon, Aug 10th, 2015

Sebanyak 48 Lesen Syarikat Kawalan Keselamatan Dibatalkan Sejak 2010

Kongsi maklumat ini
Tags

sgfjPetaling Jaya – Sebanyak 48 lesen syarikat kawalan keselamatan telah dibatalkan manakala 38 syarikat lagi telah diberikan amaran atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 sejak 2010 hingga kini.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali berkata antara kesalahan tersebut ialah menggunakan khidmat pengawal yang memegang kad pengenalan palsu.

Selain itu menggaji warga asing secara haram, menggaji pengawal bersenjata yang tidak memiliki lesen senjata api serta tidak melakukan tapisan keselamatan terhadap pengawal keselamatan warga tempatan.

Kegiatan syarikat-syarikat ini dikesan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung pertama penubuhan Koperasi Keselamatan Berhad anjuran persatuan itu di Subang Jaya.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan kerjasama pihaknya dengan pihak berkuasa, jumlah syarikat yang menggunakan khidmat pengawal keselamatan warga asing secara haram turut berkurangan.

“Sehubungan itu, PPKKM akan terus bekerjasama memberi maklumat dan memantau perkara ini bagi meningkatkan tahap keselamatan, sekali gus menambah keyakinan orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menjangkakan sebanyak 200,000 anggotanya akan menyertai Koperasi Keselamatan Berhad yang dibuka kepada semua pengamal keselamatan yang terdiri daripada pengusaha syarikat, anggota pengawal keselamatan termasuk anggota keluarga mereka khususnya dalam sektor swasta.

“Menerusi penubuhan ini, pelbagai bentuk kemudahan serta manfaat telah dirangka untuk anggota menerusi perniagaan yang akan diusahakan di bawah koperasi ini seperti pembuatan pakaian seragam dan sebagainya,” kata Mustapa.

Katanya, idea penubuhan koperasi itu hasil perbincangan anggota jawatankuasa PPKKM sejak beberapa tahun lalu dan ia akan memfokuskan kepada pengambilan anggota sebagai ahli koperasi di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.