Kiriman pada: Mon, Dec 21st, 2015

Sebutan Kes Tiga Lelaki Culik Kanak-Kanak 5 Jan

Kongsi maklumat ini
Tags

gsjKAJANG – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 5 Januari untuk sebutan semula kes tiga lelaki yang didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun bagi mendapatkan tebusan RM300,000, Oktober lepas.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent ketika dihubungi Bernama berkata pihak mahkamah telah memaklumkannya mengenai tarikh baharu itu.

“Namun mahkamah tidak beri alasan, sekadar maklum tarikh baharu sahaja,” katanya yang mewakili tertuduh Siow Kek Keong.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini. Tinjauan Bernama mendapati satu notis ditampal di luar Mahkamah Majistret 2 memaklumkan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad yang mengendalikan kes itu sedang bercuti.

Pada 16 Oktober lepas, tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan didakwa terhadap pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun bagi mendapatkan tebusan RM300,000, yang menjadi viral di laman sosial.

Kek Keong, 44, yang menjalankan perniagaan percetakan, Riduansyah Yahya, 32, buruh warga Indonesia dan Mohd Saifulamry Jarkasi, 28, pemandu lori, didakwa dengan niat bersama menahan dan mengurung secara tidak sah kanak-kanak itu yang merupakan anak seorang kontraktor untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000 di tepi Jalan Seroja bersebelahan rumah No.4, Taman Setia, Sungai Chua, di sini, pada 9.26 pagi, 9 Oktober lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.