Kiriman pada: Mon, Jul 27th, 2015

Sedia Lebih Banyak Produk Pembiayaan

Kongsi maklumat ini
Tags

vdfhdSELEPAS menjadi institusi perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai lalu, Agrobank komited menyediakan lebih banyak produk pembiayaan baharu berlandaskan prinsip Islam yang sesuai dengan kehendak semasa pelanggan dalam sektor pertanian bagi merancakkan usaha meningkatkan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, beberapa program pembiayaan baharu akan diperkenalkan untuk meningkatkan penyertaan golongan sasar terutamanya agropreneur muda, perniagaan mikro, kecil dan sederhana dalam industri berimpak tinggi.

“Dalam tempoh terdekat ini, Agrobank akan melancarkan dua program pembiayaan baharu khusus disasarkan kepada segmen perniagaan yang mempunyai prospek yang baik tetapi sukar mendapat pembiayaan modal dari institusi perbankan.

“Lebih banyak program pembiayaan seperti ini akan dilancarkan untuk memperkukuhkan inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama tanpa mengira perbezaan gender dan tahap sosioekonomi,” katanya.

Wan Mohd Fadzmi berkata, program baharu yang dirangka itu akan mengukuhkan penguasaan pasaran dan daya saing Agrobank dalam sektor perbankan Islam.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, keutamaan diberikan untuk mempertingkatkan keupayaan Agrobank menambah pembiayaan dalam sektor pertanian.

“Pada masa sama, rancangan strategik bank turut mengambil kira penawaran produk yang patuh syariah, meningkatkan proses pengurusan risiko kredit dan meningkatkan modul latihan sedia ada bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semua pegawai kredit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Agrobank akan terus memberikan fokus untuk meningkatkan kualiti dan perkhidmatan di sepanjang rantaian nilai, selari dengan matlamat kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Dasar Transformasi Nasional dan
Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11).

“Pelbagai industri berimpak tinggi telah dikenal pasti oleh pihak kementerian untuk mencapai objektif pembangunan sektor pertanian, di mana Agrobank memainkan peranan penting menyediakan pembiayaan modal perniagaan serta memberikan khidmat nasihat dalam aspek pengurusan projek dan kewangan.

“Kami juga akan meluaskan dan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam membangunkan sektor pertanian bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi masyarakat luar bandar dan kebergantungan kepada produk makanan yang diimport,” katanya.

Menurutnya, industri kewangan Islam dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka akan merekodkan perkembangan positif dan menggalakkan selaras dengan matlamat Bank Negara di dalam Pelan Sektor Kewangan 2011 – 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

“Berasaskan kepada perkembangan ini, Agrobank yakin matlamat meningkatkan pembiayaan berlandaskan prinsip Islam ke tahap 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan pada tahun 2020 akan dicapai,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.