Kiriman pada: Thu, Nov 19th, 2015

Sedia Timbang Pembangkang Sertai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri

Kongsi maklumat ini
Tags

bmgKuantan – Kerajaan Negeri Pahang sedia mempertimbangkan untuk melantik anggota pembangkang menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagaimanapun, Adnan menambah bagi merealisasikan perkara itu, pihak pembangkang perlu menunjukkan keikhlasan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan bersedia mengenepikan perbezaan politik.

“Ini adalah berdasarkan pengalaman lalu, walaupun bukan berlaku di Pahang, namun apabila dilibatkan pembangkang, ia dipolitikkan. Saya boleh berjanji, jika berlaku bencana, saya akan minta pegawai daerah untuk maklumkan semua wakil rakyat tidak kira dari kerajaan atau pembangkang.

“Apabila pegawai daerah sudah beritahu, sila datang dengan segera dan ikutlah rombongan yang beri bantuan. Tapi jangan harapkan layanan khas pada waktu bencana,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu jika kerajaan negeri bercadang melantik anggota pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi memudahkan semua wakil rakyat menyalurkan bantuan.

Mengulas mengenai persiapan banjir, Adnan berkata sebanyak 657 pusat pemindahan yang boleh menampung 140,205 mangsa, sebuah mini depoh simpanan keperluan bencana dan 101 pangkalan hadapan diwujudkan.

Beliau berkata sebanyak 158 pembekal setempat juga dilantik bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas boleh dibekalkan dengan segera kepada mangsa banjir.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.