Kiriman pada: Wed, Aug 26th, 2015

Sediakan 50,000 Rumah Mampu Milik Iltizam Datuk Bandar KL

Kongsi maklumat ini
Tags

aminnordinKuala Lumpur – Membangunkan semula flat lama milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan antara langkah dalam menyediakan 50,000 rumah mampu milik di ibu negara, yang menjadi iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

“DBKL telah meluluskan lebih kurang 25,000 rumah mampu milik dalam mencapai sasaran tersebut dan projek-projek ini sedang berjalan dengan lancar di seluruh ibu negara,” katanya.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu mulai 18 Julai lalu, berkata antara iltizam lainnya untuk Kuala Lumpur ialah memperbaiki sistem penyampaian dengan langkah penyusunan semula DBKL yang dijalankan awal Ogos lalu bagi memperkukuhkan fungsi dewan bandaraya.

Mhd Amin juga akan memberi penumpuan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan awam seperti jalan raya, lampu dan sebagainya bagi memastikan warga kota mendapat kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik.

Selain itu, beliau juga akan berusaha untuk menjadikan ibu kota sebagai ‘Bandar Ceria’ melalui penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti bersama masyarakat seperti kegiatan sukan dan riadah.

Mhd Amin juga berkata beliau akan memberi perhatian khusus dalam menangani isu warga asing, barangan tiruan, maksiat, judi dan sebagainya.

Peruntukan RM4 bilion untuk pembangunan bandar dalam jangka masa lima tahun ini, akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan warga kota mendapat kemudahan asas terbaik dalam mencapai status bandar raya bertaraf dunia.

Mhd Amin merupakan Ketua Pengarah DBKL sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Phesal Talib yang tempoh kontraknya tamat pada 17 Julai lepas.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.