Kiriman pada: Tue, Mar 10th, 2015

Segmen Maritim LIMA 2015 Akan Tampil Lebih 65 Aset Dari Beberapa Negara Termasuk Tiga Dari Rusia

Kongsi maklumat ini
Tags

img_organizerKuala Lumpur – Segmen maritim Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 akan melibatkan lebih 65 aset dari beberapa negara termasuk tiga dari Rusia.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata Rusia bersetuju menghantar kapal perang pemusnah Admiral Panteleyev, kapal tangki Pechenega (kapal tangki) dan kapal penyelamat SB-522 pada pameran itu yang berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

“Ia menjadikan negara itu sebagai peserta dengan aset maritim terbanyak,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan.

Selain itu, katanya antara kapal tercanggih di rantau Asia Tenggara, RSS Stalwart milik Singapura, juga menyertai LIMA 2015 dan perbincangan akan dibuat bagi membolehkan ia dilawati pengunjung ketika pameran itu berlangsung.

Beliau berkata pada pameran kali ini, Malaysia menampilkan 12 buah kapal termasuk kapal selam kelas Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman, berbanding lapan buah pada LIMA 2013.

Selain itu, lapan kapal dan 28 buah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga akan menyertai LIMA 2015.

Abdul Aziz berkata segmen maritim kali ini juga bakal disertai 17 orang Panglima Tentera Laut (PTL) selain 15 wakil PTL.

Selain Malaysia, PTL yang akan menghadiri LIMA 2015 ialah dari Brunei Darussalam, Bangladesh, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Fiji, Indonesia, Jordan, Kuwait, Myanmar, Maldives, New Zealand, Papua New Guinea, Qatar, Singapura, Timor Leste dan Sri Lanka.

Wakil PTL ialah dari Oman, Thailand, Korea Selatan, Rusia, Mesir, Australia, Kemboja, Amerika Syarikat, Pakistan, Afrika Selatan, India, China, Arab Saudi, Vietnam dan Perancis.

Selain pameran, beliau berkata segmen maritim akan menampilkan demonstrasi bot TLDM, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.